Kerajaan Negeri Kedah pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor didesak membina loji mini bagi mengatasi krisis bekalan air bersih yang semakin meruncing.
Pengerusi Pertubuhan Gagasan Generasi Gemilang Kuala Kedah, Datuk Mutalib Harun ketika membuat desakan itu berkata isu bekalan air bersih itu semakin teruk teruma ketika musim perayaan.
Kawasan Parlimen Kuala Kedah di mana membabitkan kira-kira 35,000 akaun pengguna jelasnya antara contoh kawasan yang terjejas teruk dan memerlukan penyelesaiaan segera kepada masalah tersebut.
Media pada 17 April lalu menjangkakan seramai 1 juta daripada kira-kira 2.2 juta penduduk Kedah, dijangka mengalami krisis bekalan air bersih.
Presiden Persatuan Pengguna Kedah (CAKE), Mohamad Yusrizal Yusoff, berkata krisis bekalan air yang berlaku hampir setiap kali musim perayaan itu boleh dianggap sebagai berpunca daripada kegagalan negeri merancang sistem bekalan air.
"Masalah di Kedah, semua perancangan yang dibuat itu lebih lima tahun lalu, tetapi sehingga hari ini belum disiapkan. SADA (Syarikat Air Darul Aman) memaklumkan kerja naik taraf akan siap berperingkat dalam tempoh beberapa tahun lagi.
"Disebabkan itu, kita jangkakan selepas semua projek naik taraf selesai, masalah air tidak dapat diselesaikan kerana pembangunan pesat, terutama projek perumahan terus dibina di sekitar kawasan yang mengalami masalah tekanan air," katanya dipetik.
Sementara itu, Mutalib berkata pihaknya pernah mencadangkan pembinaan loji mini tiga tahun lalu sebagai pelan jangka masa pendek mengatasi masalah yang dihadapi namun sehingga kini masih tiada penyelesaian.
Malah SADA turut di minta supaya lebih efisien dalam melaksanakan pelan kontigensi menangani masalah gangguan bekalan air sepanjang musim perayaan.
"Kita melihat pelan ini tidak berjaya dan tidak dapat dilaksanakan oleh pihak Kerajaan Negeri, buktinya ketika Aidilfitri pelan sahaja ada tapi tindakan tiada tindakan.
"Perkara itu membuat rakyat menderita. Kita harap Kerajaan Negeri dapat selesaikan dengan segera. Rakyat ada kuasa untuk menentukan kerajaan, jadi kalau tidak selesaikan sekarang bila lagi ia akan diselesaikan," katanya dipetik.
ความคิดเห็น