Kerajaan N Sembilan 'tempang' tanpa lantikan Exco baharu


Kerajaan Negeri Sembilan kini didakwa ‘tempang’ dan gagal berfungsi apabila barisan Exco lama tidak boleh melaksanakan kuasa bagi menyelesaikan isu rakyat.
Timbalan Ketua Penerangan KEADILAN Negeri Sembilan, Edy Noor Reduan berkata, keadaan itu sekali gus menjejaskan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat meskipun Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) telah menerima mandat untuk mentadbir negeri berkenaan.
Menurut Edy Noor, Menteri Besar Datuk Ismail Lasim seharusnya mengikut permintaan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir untuk melantik Exco baharu bagi meneruskan pentadbiran Kerajaan Negeri berbanding kekal dengan usaha untuk mengganti Yang di-Pertuan Besar.

"Nampaknya Kerajaan BN-PN Negeri Sembilan adalah kerajaan gagal. Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim memilih untuk berdiam diri setelah diberi perkenan mengadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
"Sepatutnya MB Ismail lebih bersyukur kerana diberi peluang kedua, namun berdiam sehingga hari ini termasuklah gagal menyenaraikan barisan Exco daripada sejumlah 14 Adun BN- PN yang masih boleh dilantik," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Sebelum ini, media melaporkan Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan 10 Exco berkuat kuasa serta-merta.
Menurut kenyataan dikeluarkan Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Datuk Azizi Mohamad Ali, keputusan berkenaan dibuat selepas mendapati kesemua Exco terbabit telah memungkiri sumpah jawatan mereka.
Bagaimanapun Ismail menegaskan bahawa pembatalan tersebut tidak sah dan bercanggah dengan perlembagaan.
Pada 21 Sept lalu, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir telah membatalkan pelantikan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negeri berkuat kuasa serta-merta.
Keputusan itu dibuat selepas mendapati kesemua Exco terbabit telah memungkiri sumpah jawatan mereka menurut Perkara XXXVIII(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, seseorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri memegang jawatannya selagi diperkenan Yang di-Pertuan Besar.
Sehubungan itu, Tuanku Muhriz mengarahkan MB Ismail memberikan senarai baharu nama Exco. Namun sehingga hari ini tiada senarai baharu yang diberikan, menyebabkan pentadbiran di Negeri Sembilan tempang dan tiada Exco yang boleh menjalankan tugas pentadbiran.




Comments