top of page

Kerajaan N Sembilan arah PBT tangani rumah ibadat tidak ikut peraturan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 1 min read

Pihak berkuasa tempatan (PBT) di Negeri Sembilan diarah mengambil tindakan segera mengikut lunas undang-undang terhadap rumah ibadat yang dibina di negeri itu secara tidak sah


Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J. Arul Kumar (gambar) berkata, langkah itu bukan sahaja bagi memastikan perancangan pembangunan dapat dibuat secara tersusun dan keharmonian masyarakat di negeri itu terus kekal.


"Tindakan awal dan penguatkuasaan berterusan penting bagi mengelak isu yang boleh menimbulkan kekeliruan pada masa hadapan.


"Jika pembinaan rumah ibadat baharu tidak mendapat kelulusan, tindakan perlu diambil lebih awal. Sekiranya perkara ini dibiarkan, isu sama mungkin berulang dalam tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang.


"Bagi rumah ibadat telah lama wujud, pendekatan harmoni dan rundingan perlu diberi keutamaan," katanya dipetik selepas membuat lawatan di Rumah Pangsa Senawang 2 di Seremban pada Selasa.


Pada lawatan itu beliau meninjau kerja naik taraf tangki air dan sistem retikulasi di rumah pangsa berkenaan, melibatkan peruntukan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan kos keseluruhan RM497,297.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin menegaskan pendirian Kerajaan Persekutuan yang tidak mengizinkan pembinaan mana-mana rumah ibadat yang tidak mengikut peraturan.


Justeru beliau menggesa semua kerajaan negeri mematuhi ketetapan yang digariskan itu demi memastikan keselamatan dan kematangan negara pada masa hadapan.


Sementara itu, Arul menjelaskan dasar Kerajaan Negeri yang menetapkan syarat perancangan yang jelas bagi pembangunan baharu, termasuk penyediaan tanah untuk kemudahan rumah ibadat.


Bagi pembangunan dengan populasi 10,000 penduduk, pemaju diwajibkan menyediakan sekurang-kurangnya 0.4 hektar tanah bagi rumah ibadat bukan Islam.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page