Kerajaan minioriti Muhyiddin bersifat sementara - Hasan Karim


Kerajaan dipimpin Perdana Menteri (PM) Muhyiddin Yassin bersifat sementara dan perlu segera diuji di Parlimen, kata Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim. Katanya, sidang Parlimen esok adalah peluang terbaik Muhyiddin menguji sokongan ke atas pentadbirannya. "Selagi PM Muhyiddin belum lepas dan belum lulus ujian Undi Tidak Percaya yang dikemukakan ke Dewan Rakyat dan diterima oleh Speaker, maka status Muhyiddin masih kekal sebagai PM kerajaan minoriti. Kabinetnya ialah kabinet kerajaan minoriti. "Sebuah kerajaan minoriti bersifat sementara keabsahannya (legitimacy). Muhyiddin mesti dalam masa yang segera membuktikan beliau mempunyai cukup ahli parlimen menyokong untuk menunjukkan kerajaannya sebuah kerajaan majoriti, hatta dengan majoriti mudah seramai 112 orang sahaja," kata Hassan dalam satu kenyataan. Katanya lagi, Muhyiddin dilantik oleh Yang diPertuan Agong sebagai Perdana Menteri pada 1 Mac 2020 berdasarkan peruntukan Perkara 43 (2) (a) Perlembagaan Persekutuan iaitu ‘Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu;’ Menurut Hassan, ukuran standard yang diguna dalam Perkara 43 (2)(a) itu adalah subjektif dan bukannya objektif. Perkataan di dalam peruntukan Perlembagaan itu ialah ‘ pada hematnya mungkin..’ Oleh itu, Muhyiddin selaku PM kerajaan minoriti mesti melalui satu ujian objektif berdepan usul Undi Tidak Percaya yang dibawa oleh Ahli Parlimen Langkawi Tun Dr Mahathir Mohamad, yang mana usul tersebut diterima oleh Parlimen sebagai satu usul Dewan Rakyat. "(Persoalannya) bolehkah Muhyiddin bersandar keabsahan (legitimacy) kerajaannya hanya kepada alasan beliau telah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 43(2)(a)? Dengan rendah hati, penuh hormat dan beradab jawapan saya ialah: Tidak boleh. "Mengapa tidak boleh? Malaysia ini sebuah negara demokratik yang mengamalkan dwi-fungsi iaitu Sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen. Malaysia tidak mengamalkan Sistem Raja Mutlak "Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan itu merupakan pengiktirafan Perlembagaan Persekutuan terhadap kuasa institusi raja di Malaysia. Tetapi kuasa itu tidaklah lengkap dan tidak mutlak dalam soal perlantikan seorang PM," katanya. Hassan memperteguhkan hujah itu dengan membariskan Perkara 46(1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan hal berkenaan Keanggotaan Dewan Rakyat iaitu: ‘Dewan Rakyat hendaklah terdiri daripada dua ratus dua puluh dua orang ahli dipilih.’ Perkataan kuncinya ialah perkataan ‘dipilih’ yang membawa maksud dipilih oleh rakyat di dalam pilihan raya melalui peti undi. Perkara 46(1) Perlembagaan Persekutuan itu adalah pengiktirafan Perlembagaan Persekutuan terhadap kuasa rakyat. Demokrasi Berparlimen adalah demokrasi yang lahir dari peti undi dan pilihan raya. Kuasa rakyat yang sebenarnya memilih kerajaan. Kuasa rakyat juga seperti kuasa raja adalah suatu institusi yang diiktiraf oleh undang-undang dan Perlembagaan. Menurutnya Hassan lagi, sebagai seorang ahli Parlimen secara ikhlas dan jujur saya menyeru kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya segera menyelesaikan krisis perlembagaan ini yang menyentuh keabsahan kerajaan pimpinannya. "Lagi cepat lagi baik supaya krisis perlembagaan ini tidak berleret-leret yang akan merugikan rakyat dan negara. Sebagai suatu Bangsa Malaysia dan sebuah negara Malaysia yang kita sayangi, maka kita perlu segera bangun dan bergerak ke hadapan," akhiri Hassan.

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio