Kerajaan Malaysia mampu gerak agenda keamanan di Palestin
- Redzuan Shamsudin
- Oct 26, 2023
- 1 min read

Malaysia yang diperintah Kerajaan Perpaduan diyakini mampu menyumbang untuk menggerakkan proses keamanan di Asia Barat yang tenggelam dalam konflik berdarah Israel - Palestin.
Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Sarawak, Roland Engan, pendekatan Kerajaan Perpaduan yang mengutamakan perdamaian serta keamanan dalam negara boleh digunapakai untuk mendamaikan rantau yang bergolak.
"Terbukti parti-parti politik di Malaysia dapat bekerjasama membentuk Kerajaan Perpaduan demi keamanan dan kestabilan negara.
"Saya yakin Kerajaan Perpaduan ini juga boleh menggerakkan agenda keamanan dan kestabilan di Timur Tengah khususnya antara Israel dan Hamas.
"Fokus yang benar adalah keamanan, kestabilan dan kemanusiaan," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Roland Engan lagi, tidak mengira sokongan berpihak kepada siapa atau kepentingan di belakangnya, agenda utama adalah untuk mencari perdamaian dan mengelakkan nyawa insan tidak berdosa terus melayang.
"Jika ada kecenderungan berpihak pada Israel atau Palestin atau Hamas, biarlah ia tidak menghalang agenda sebenar iaitu keamanan, kestabillan dan kemanusiaan atas dasar kecintaan sesama manusia," katanya lagi.
Konflik Israel - Palestin telah memasuki minggu ketiga dan menyaksikan serangan udara tentera Israel tanpa henti pada setiap hari. Sehingga kini lebih 5,500 penduduk Palestin di Gaza terkorban dan jumlah itu akan meningkat sekiranya Israel melakukan serangan darat besar besaran.
Comments