Kerajaan MADANI tidak pernah anak tirikan Johor - Pemuda AMANAH
- Azuan Ab Rahman

- Jun 23
- 1 min read

Pemuda Amanah menolak dakwaan Johor dianaktirikan apabila hanya menerima pulangan antara RM2 hingga RM3 bilion berbanding apa yang disumbangkan negara itu kepada pusat.
Naib Ketua Pemuda Amanah Nasional, Ammar Atan (gambar) menerusi satu kenyataan menegaskan, Johor antara negeri penerima peruntukan pembangunan dan pelaburan berskala besar di bawah pentadbiran kerajaan Madani.
Tambahnya, sumbangan Kerajaan Persekutuan kepada Johor tidak boleh diukur hanya berdasarkan angka tertentu kerana ia turut melibatkan pembiayaan langsung projek infrastruktur awam, kos penyelenggaraan serta perbelanjaan operasi agensi kerajaan.
"Dakwaan bahawa Kerajaan Persekutuan hanya mengembalikan RM2 bilion hingga RM3 bilion kepada Johor tidak menggambarkan keadaan sebenar.
"Persekutuan terus melabur secara langsung dalam pembangunan infrastruktur awam di Johor, merangkumi sekolah, hospital, jalan raya dan kemudahan asas yang lain.
"Projek besar seperti Sistem RTS dan Landasan Berkembar Elektrik Gemas–Johor Bahru turut didanai sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan," katanya.
Menurut Ammar, gambaran kononnya Johor dipinggirkan juga tidak selari dengan rekod semasa yang menunjukkan negeri itu muncul antara yang paling pesat membangun.
Ia termasuk rekod Johor sebagai penerima pelaburan diluluskan terbesar dalam sejarah negara pada 2025.
Dalam kenyataannya, beliau turut menegaskan bahawa jika isu pulangan kepada Johor dianggap tidak setimpal, perkara itu tidak wajar dituding kepada Kerajaan MADANI yang belum menamatkan satu penggal pentadbiran.
Sebaliknya, parti yang menerajui kerajaan Johor hari ini sudah pun memegang kuasa di peringkat negeri dan Persekutuan sejak merdeka lagi.
"Kerajaan Persekutuan komited meneruskan kerjasama erat dengan Kerajaan Negeri serta memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati rakyat tanpa mengira pentadbiran negeri
"Ini terbukti, dalam tempoh singkat pentadbiran Kerajaan Madani, Johor mencatat rekod pelaburan tertinggi negara selain menerima peruntukan pembangunan dan pelaburan infrastruktur yang signifikan," katanya.




Comments