Kerajaan MADANI teroka potensi penyiaran 5G - Fahmi
- Suara Keadilan
- 5 hours ago
- 1 min read

Kerajaan MADANI mula meneroka potensi penggunaan teknologi Penyiaran 5G bagi melengkapi kaedah penyampaian sektor penyiaran negara seiring perkembangan semasa.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, teknologi tersebut berupaya menambah baik pengalaman penonton sesuatu acara melalui venue casting serta mempercepat penyiaran amaran kecemasan.
Menurutnya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kini meneliti serta menguji kebolehlaksanaan teknologi baharu itu termasuk dari aspek teknikal.
"MCMC telah mula melakukan test bed session untuk meneliti isu gangguan spektrum, kesesuaian dalam keadaan tertentu dan kemampuan teknologi ini.
"Teknologi Penyiaran 5G dijangka matang dalam tempoh beberapa tahun kerana ia masih sangat baharu, termasuk keperluan pemasangan chipset tertentu dalam peranti
"Isu yang MCMC uruskan adalah daripada aspek teknikal untuk membolehkan teknologi ini digunakan tanpa mendatangkan gangguan kepada mod penyiaran lain ataupun perkhidmatan telekomunikasi sedia ada," katanya dipetik.
Fahmi berkata begitu selepas merasmikan Persidangan Penyiaran 5G di Putrajaya pada Khamis.
Beliau sementara itu menjelaskan, seiring perkembangan teknologi tersebut kerajaan sedang meneliti kaedah baharu untuk menyampaikan amaran awal yang sebelum ini hanya bergantung pada sistem pesanan ringkas (SMS).
Teknologi terbaharu itu membolehkan kandungan disiarkan terus kepada peranti mudah alih tanpa memerlukan sambungan Internet tradisional.
Tidak seperti rangkaian mudah alih konvensional, teknologi ini juga membolehkan penghantaran isyarat siaran satu-ke-banyak secara serentak dengan kualiti tinggi dan liputan lebih meluas.
Beberapa negara Eropah dijangka akan mula menggunakan teknologi tersebut sebagai kaedah penyampaian seawal 2027.
Comments