Kerajaan MADANI terjemah janji MA63 dalam bentuk dasar, tindakan
- Suara Keadilan

- Nov 6
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Siri Jelajah Harapan Urang Sabah bagi Bahagian Pantai Barat bermula meriah di Inanam, kawasan kubu kuat KEADILAN sejak 2013.
Berlangsung di BTC Bistro, acara itu menarik kehadiran ratusan warga setempat yang hadir bagi mendengar penjelasan mengenai hala tuju perjuangan KEADILAN Sabah serta dasar Kerajaan MADANI yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Sabah, Datuk Mustapha Sakmud (gambar) menerusi ucapannya menegaskan bahawa perjuangan menuntut hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terus menjadi agenda utama KEADILAN Sabah pada waktu ini dan masa depan.
"Buat pertama kali dalam sejarah, kita mempunyai seorang Perdana Menteri yang benar-benar memahami dan komited terhadap pelaksanaan MA63.
"Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan sahaja menyokong tetapi memastikan tuntutan Sabah, termasuk hasil 40% seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, dilaksanakan," katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Menurut Mustapha, komitmen kerajaan MADANI untuk dalam perkara itu bukan sekadar retorik, tetapi diterjemah bentuk tindakan dan dasar yang jelas.
Hasil penubuhan Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri, pelbagai tuntutan tertunggak kini berjaya diselesaikan, tegasnya.
"Antaranya termasuk pemindahan kuasa kawal selia tenaga elektrik kepada Kerajaan Negeri Sabah, pelantikan wakil Sabah ke Lembaga Hasil Dalam Negeri, serta pelaksanaan semakan rasmi terhadap pemberian khas 40%.
"Dalam mengantisipasi hasil 40% yang bakal diterima kelak, bahawa KEADILAN Sabah akan mengusulkan penubuhan Tabung Khas Hasil 40% di Dewan Undangan Negeri bagi memastikan hasil negeri diurus secara berhemah dan berstrategi — bagi memastikan hasil negeri dilabur semula untuk manfaat jangka panjang rakyat Sabah," tambah beliau.









Comments