Kerajaan MADANI teliti garis panduan tangani isu 3R dalam Dewan Rakyat
- Suara Keadilan

- Mar 31
- 1 min read

Kerajaan MADANI meneliti cadangan untuk merangka garis panduan khusus termasuk mekanisme bagi mengelakkan kenyataan menyentuh isu kaum, agama, institusi diraja (3R) dalam kalangan Ahli Parlimen ketika berbahas di Dewan Rakyat.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara, R Yuneswaran (gambar) berkata, walaupun Ahli Parlimen mempunyai imuniti dalam Dewan Rakyat mereka masih perlu bertanggungjawab untuk memastikan kenyataan dikeluarkan tidak mencetuskan kemarahan atau ketegangan dalam kalangan masyarakat.
"Jika tindakan mungkin tidak boleh diambil dalam Dewan Rakyat, ia tidak bermakna kita boleh sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan yang menyentuh sensitiviti kaum, agama dan institusi diraja," katanya dipetik.
Terdahulu beliau hadir ke Pelancaran Malaysian Racism Report 2025 oleh Pusat Komas di Kuala Lumpur pada Isnin.
Yuneswaran sementara itu memaklumkan, cadangan garis panduan berkenaan akan dikemukakan dalam satu pertemuan dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Dr Johari Abdul dalam masa terdekat.
Dalam masa sama beliau mengingatkan semua pihak termasuk ahli politik agar memberikan tumpuan kepada agenda pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.
Dalam perkembangan berkaitan, Yuneswaran menyokong cadangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) untuk memperkenalkan Akta Keharmonian Nasional.
Perkara itu jelasnya kini di peringkat awal perbincangan dan memerlukan sokongan Pejabat Perdana Menteri sebagai langkah proaktif memperkukuh perpaduan negara.




Comments