top of page

Kerajaan Madani tegas: Tiada lagi kes rogol pelajar disorok pihak sekolah

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Oct 17
  • 2 min read

ree

Oleh: Helmi Foad


Kerajaan Madani disifatkan semakin terbuka dan berani dalam menangani isu salah laku serta jenayah seksual di sekolah apabila tidak lagi menyembunyikan sebarang kes di bawah karpet termasuk kes rogol pelajar di Baling, Kedah yang tular baru-baru ini.


Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Sri Kiambang dan SK Baroh Pial, Kelantan Mohd Hisyamuddin Ghazali berkata, langkah pantas pihak berkuasa dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membuktikan komitmen tinggi kerajaan dalam menangani isu itu secara telus dan ianya amat dipuji.


"Kes ini kita tahu sebab Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Azam Ahmad sudah bagi arahan jelas, jangan simpan bawah karpet," katanya dalam satu kenyataan di Facebook.


Beliau yang turut dikenali sebagai Syam Ghaz berkata kejadian membabitkan pelajar sekolah di Baling itu berlaku antara Mei dan Ogos lalu apabila bapa mangsa hanya mengetahui kejadian sebenar selepas pihak sekolah mengambil tindakan terhadap penyebaran video bogel anaknya.

Mohd Hisyamuddin Ghazali
Mohd Hisyamuddin Ghazali

Susulan laporan itu, empat remaja ditahan, termasuk tiga lelaki disiasat kerana pengedaran video berkenaan, katanya.


"Sekarang, murid, guru-guru dan ibu bapa di era Kerajaan Madani lebih berani buat laporan polis supaya perkara ini dapat dicegah segera.


"Kerajaan tidak sembunyikan kes di sekolah dan sanggup hadapi kritikan asalkan masalah diselesaikan segera," katanya.


Justeru itu, beliau menyeru semua pihak termasuk ibu bapa, guru, Jabatan Pendidikan Daerah, Jabatan Pendidikan Negeri supaya bersatu hati dan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi memastikan keadilan dan keselamatan pelajar terjamin.


"Kalau benar nak benda ini diatasi segera, ayuh bekerjasama. Lapor, tangkap dan dakwa terus! Kerajaan Madani sudah responsif, polis pun pantas buat tangkapan dan pendakwaan," tegasnya.


Hisyamuddin turut memaklumkan satu mesyuarat khas dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah diadakan bersama empat kementerian utama bagi membincangkan langkah tegas menyekat kandungan negatif, lucah, ganas dan berunsur LGBT di laman web, media sosial dan aplikasi digital.


Beliau berkata sinergi antara KDN, KPM, Kementerian Komunikasi dan Jabatan Hal Ehwal Agama akan memperkukuh usaha membanteras gejala sosial dalam kalangan pelajar.


"Reform habis, sokong padu amar makruf nahi mungkar


"Kami menyokong 100 peratus usaha PMX dan semua kementerian terbabit untuk sekat semua kandungan negatif di Internet," tegas Syam.


Terdahulu laporan media memetik Menteri Pendidikan menegaskan KPM tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku, jenayah seksual atau buli di sekolah, sama ada melibatkan pelajar mahupun guru.


"Kita tidak akan simpan bawah karpet. Setiap kes mesti disiasat dan dirujuk kepada pihak polis. Arahan ini sudah disampaikan kepada semua jabatan dan sekolah," kata Fadhlina.


Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat pula mengesahkan siasatan terhadap empat remaja yang ditahan sudah selesai dan kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.


Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana rogol dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penyebaran video lucah, katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page