Kerajaan MADANI tegas dapatkan semula aset terkait skandal 1MDB


Kerajaan MADANI kekal tegas dalam usaha mendapatkan semula aset yang berkaitan dengan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB), termasuk melalui tindakan perundangan di beberapa negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah obligasi 1MDB ditanggung kerajaan berjumlah RM51.4 bilion, merangkumi RM42.5 bilion yang telah dibayar serta baki hutang RM8.9 bilion.
Tambahnya, sebanyak RM31.3 bilion diterima sebagai hasil pemulihan aset, menjadikan baki kerugian yang bakal ditanggung kerajaan akibat skandal 1MDB mencecah RM20 bilion.
"Usaha pemulihan ini bukan semata-mata soal menuntut kembali wang yang hilang. Amanah, keyakinan terhadap institusi serta martabat Malaysia di mata rakan-rakan antarabangsa turut tergadai dalam episod hitam negara ini.
"Justeru, Kerajaan Madani berikhtiar memperteguh tatakelola dan kebertanggungjawaban institusi agar pengkhianatan sebesar ini tidak berulang," katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, usaha pemulihan melibatkan kerjasama dan proses perundangan di beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, Switzerland, United Kingdom dan Singapura.
Antara pemulihan terbaharu ialah penyelesaian yang dicapai kerajaan dengan JPMorganChase pada Ogos 2025, yang melibatkan sumbangan RM1.4 bilion ke dalam Akaun Amanah Pemulihan Aset Malaysia.
"Dana yang diperoleh semula melalui akaun tersebut digunakan bagi membayar hutang dan memenuhi tanggungan kewangan sedia ada berkaitan 1MDB dan SRC, sekali gus mengurangkan beban ke atas kewangan awam," jelasnya.




Comments