Kerajaan MADANI punya rekod baik selesakan kehidupan rakyat - Anwar
- Suara Keadilan
- 47 minutes ago
- 2 min read

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Kerajaan MADANI mempunyai rekod pelaksanaan yang nyata dalam membela kebajikan rakyat dan tidak bergantung kepada janji semata-mata untuk meraih sokongan.
Beliau berkata, pelbagai inisiatif yang dilaksanakan sejak mengambil alih pentadbiran membuktikan komitmen kerajaan menyelesaikan masalah rakyat, termasuk membaik pulih kuarters pasukan keselamatan, menaik taraf kemudahan sekolah, meningkatkan kebajikan warga FELDA serta melaksanakan kenaikan gaji penjawat awam.
Menurut Anwar, rakyat perlu menilai prestasi kerajaan berdasarkan pencapaian yang telah dilaksanakan, bukannya retorik politik ketika musim pilihanraya.
"Ini bukan janji pilihanraya. Ini kita laksanakan. Tanggungjawab kerajaan adalah membantu rakyat walaupun belum tentu mereka menyokong kita," katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon Pakatan Harapan PRN Negeri Sembilan Ke-16, malam tadi.
Beliau berkata, antara bukti pelaksanaan kerajaan ialah kelulusan peruntukan RM450 juta bagi membaik pulih rumah dan kuarters pegawai FELDA yang telah lama uzur, selain usaha menyelesaikan isu peneroka termasuk cadangan meminda Akta FELDA bagi membolehkan pembinaan rumah generasi kedua di tanah rancangan.
Anwar turut menyentuh usaha kerajaan menaik taraf kuarters polis dan tentera yang sebelum ini kurang mendapat perhatian, selain menyediakan peruntukan bagi membaik pulih ribuan kemudahan asas termasuk tandas sekolah di seluruh negara.
Menurut beliau, pembangunan negara tidak boleh hanya diukur melalui pelaburan besar, kecerdasan buatan (AI) atau pusat data, sebaliknya mesti diterjemahkan kepada kemudahan asas yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
Dalam pada itu, beliau berkata keputusan kerajaan melaksanakan kenaikan gaji penjawat awam tertinggi dalam sejarah dibuat selepas mendapati kumpulan itu tidak menikmati semakan gaji selama 12 tahun, walaupun kos sara hidup terus meningkat.
Katanya, cadangan awal hanya membabitkan kenaikan tujuh peratus, namun kerajaan memutuskan kadar yang lebih tinggi walaupun menanggung kos berbilion ringgit demi memastikan kebajikan penjawat awam terus terpelihara.
"Pilihanraya ini bukan soal janji semata-mata. Yang penting ialah rekod pelaksanaan. Bandingkan apa yang dilakukan sekarang dengan beberapa tahun lalu.
"Kita mahu rakyat menilai berdasarkan apa yang telah kita laksanakan, bukan hanya apa yang dijanjikan," katanya lagi.
