Kerajaan MADANI perluas kelayakan BUDI95 kepada tiga kumpulan baharu
- Suara Keadilan

- Oct 8
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Kerajaan MADANI terus memperkukuh pelaksanaan subsidi bersasar dengan mengumumkan peluasan kelayakan program BUDI MADANI RON95 (BUDI95) kepada tiga kumpulan baharu.
Menurut kenyataan Kementerian Kewangan (MoF), peluasan itu bakal melibatkan lebih 31,000 rakyat di seluruh negara merangkumi lebih 17,900 nelayan berdaftar dengan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, lebih 4,300 pemilik bot persendirian berdaftar dengan Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah.
Peluasan kelayakan turut membabitkan 9,700 pemegang lesen memandu baharu yang direkodkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
"Dengan peluasan ini, mereka kini menjadi sebahagian daripada lebih 16 juta rakyat yang menikmati subsidi RON95 pada harga RM1.99 seliter, berbanding RM2.60 seliter tanpa subsidi," kata kementerian itu menerusi satu kenyataan.
Sementara itu menurut MoF, pihak kementerian juga sedang dalam proses memuktamadkan data tambahan bagi pengguna bot tanpa lesen di Sabah dan Sarawak, bagi memastikan tiada kumpulan yang tercicir.
Selain itu, perbincangan dengan syarikat e-hailing sedang dijalankan bagi meningkatkan had siling penggunaan melebihi 300 liter sebulan kepada pemandu sepenuh masa, bagi menjamin kelangsungan pendapatan mereka.
"Kerajaan MADANI kekal komited memastikan program subsidi bersasar ini berjalan dengan lancar, telus dan memberi manfaat secara langsung kepada rakyat," tambah kenyataan tersebut.
Kementerian turut memberi jaminan akan terus memantau dan menambah baik pelaksanaan BUDI95 dari semasa ke semasa.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut melalui portal rasmi BUDI MADANI, atau menghubungi talian 1-300-88-9595 dan WhatsApp +603-2631 4595.









Comments