Kerajaan MADANI perkukuh ekosistem pendidikan prasekolah - KPM
- Azuan Ab Rahman

- Jul 8
- 1 min read

Kerajaan MADANI terus komited memperkukuh ekosistem pendidikan prasekolah bagi memenuhi keperluan masyarakat yang semakin meningkat.
Kementerian Pendidikan pada selasa menyasarkan sebanyak 1,040 kelas prasekolah baharu akan dibuka dalam tempoh lima tahun pentadbiran Kerajaan MADANI.
"Usaha ini membuktikan kesungguhan Kerajaan MADANI untuk memperkukuh ekosistem pendidikan awal serta memenuhi keperluan masyarakat yang semakin meningkat terhadap pendidikan prasekolah.
"Ia sekali gus memastikan tiada kanak-kanak tercicir daripada peluang mendapatkan pendidikan berkualiti, tanpa mengira lokasi atau latar belakang," kata kementerian itu dalam jawapan bertulis dimuat naik portal Parlimen pada Selasa.
Menurut KPM, penambahan kelas prasekolah baharu dilaksanakan secara terancang menerusi pembinaan di bawah Rancangan Malaysia Lima Tahun serta peluasan kelas di sekolah sedia ada berdasarkan permintaan setempat dan unjuran enrolmen.
"Sehingga 31 Mei lalu secara keseluruhannya, sebanyak 22,808 bilik darjah prasekolah telah beroperasi di bawah KPM, Kemas dan JPNIN dengan keupayaan menampung 455,446 kanak-kanak berusia antara empat hingga enam tahun," katanya.
Kementerian itu juga memaklumkan antara keutamaan yang sedang diberi perhatian ketika ini ialah usaha memperkukuh kualiti pendidikan prasekolah melalui pelaksanaan Kurikulum Prasekolah 2026 bagi merapatkan jurang pembelajaran antara kanak-kanak.
Berhubung cadangan menyatukan pengurusan prasekolah di bawah satu kementerian, KPM menjelaskan sebuah jawatankuasa khas telah ditubuhkan membabitkan kementerian itu, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Kementerian Perpaduan Negara serta pihak berkepentingan lain bagi meneliti cadangan berkenaan secara menyeluruh.
"Penelitian ini tidak dilakukan secara terasing, sebaliknya turut diselaraskan dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Malaysia 2026-2035 dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang menekankan aspek akses, ekuiti dan kualiti pendidikan secara menyeluruh," kata KPM lagi.




Comments