Tekad Kerajaan Madani adalah untuk melawan korupsi tanpa mengira pangkat dan kedudukan.
Hal itu dinyatakan dalam ucapan sempena majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Madani di Terengganu malam tadi.
Menurut Anwar, sebaik sahaja beliau diangkat sebagai Perdana Menteri, beliau mengedarkan salinan surat Khalifah Islam keempat Saidina Ali Abi Talib kepada Gabenor Mesir, Malik Ashtar.
Katanya, biar pun Malik terbunuh dalam perjalanan ke Mesir namun surat itu menjadi terkenal dalam sejarah Islam kerana penasanan untuk mengutamakan tatakelola dan pengurusan kerajaan yang baik
Dalam konteks Malaysia, katanya, PM, Menteri dan semua hirarki kerajaan perlu menerapkan nilai akauntabiliti tinggi dan telus.
"Surat itu yang saya edarkan sebaik menjawat PM kerana apa yang diutarakan di situ soal tatakelola, pengurusan kerajaan, soal menjadikan pimpinan, di mana peringkat sekali pun sebagai amanah.
"Jangan menggunakan kuasa PM, Menteri, Menteri Besar, Ahli Mesyuarat Negeri, apa pun kedudukan jangan digunakan untuk memperkayakan diri dan sanak saudara.
"Ini yang ditekankan dalam prinsip tatakelola itu sebagai satu amanah kepada Allah. Saya percaya dan minta semua pimpinan di peringkat Persekutuan dan penjawat awam menghadamnya," katanya.
Anwar berkata, beliau tidak mahu lagi melihat Malaysia tenggelam dalam arus korupsi seperti sebelum ini sehingga di setiap bidang dan kementerian wujud aktiviti merompak kekayaan negara.
"Saya minta semua pihak tanpa mengira parti atau kepentingan dalam urusan tatakelola dan menggunakan kesempatan sebaiknya menyelamatkan negara kita daripada ketirisan puluhan bilion setiap tahun
"Setiap projek termasuk untuk rakyat miskin, bantuan minyak tiris, projek tebatan banjir ada ketirisan, projek Jana Wibawa untuk bantu bumiputera pun disakau.
"Sebab itu saya ambil ketetapan untuk beri arahan sangat jelas kepada semua penguasa, SPRM, LHDN, Bank Negara, polis jangan kira siapa tetapi guna kesempatan ini untuk selamatkan negara. Supaya yang terlibat tahu sekiranya dilanggar maka tindakan diambil tanpa mengira kiblat mereka," katanya lagi.
Comments