Kerajaan MADANI martabatkan Islam sebagai asas tadbir urus negara
- Suara Keadilan
- 4 hours ago
- 1 min read

Kerajaan MADANI terus memartabatkan Islam sebagai asas tadbir urus dan kepimpinan negara, berpandukan nilai ihsan, keadilan dan kebijaksanaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, usaha itu diperkukuh melalui pertemuan dan wacana bersama para ulama terkemuka dari dalam dan luar negara, berlangsung dalam suasana saling menghormati dan penuh kepercayaan.
"Pertemuan dan wacana sebagai ruang pertukaran pandangan yang jujur tentang cabaran umat dan peranan kepimpinan Islam dalam dunia yang kian teruji.
"Saya menegaskan keperluan agar pimpinan Islam tampil lebih tegas dan berani dalam perkara yang menyentuh kepentingan umat, serta terlibat secara aktif mencari penyelesaian yang adil dan bermaruah termasuk memperjuangkan hak kemanusiaan saudara kita yang menderita di Gaza," katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Menerusi hantaran sama, Perdana Menteri turut mendoakan agar setiap langkah memartabatkan Islam sentiasa dipandu amanah dan kebijaksanaan, serta akan membawa manfaat kepada umat dan kemanusiaan sejagat.





