top of page

Kerajaan Madani mampu pulihkan ekonomi negara - Kamil Munim

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Mar 17, 2024
  • 1 min read


Oleh: Abdullah Zaid


Kerajaan Madani mampu untuk memulihkan ekonomi negara dalam tempoh beberapa tahun.


Menurut Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim, langkah kerajaan memperkenalkan pentadbiran cekap dan efisien sejak mengambilalih pentadbiran pada November 2022 lalu telah menunjukkan hasil apabila kedudukan fiskal negara semakin kukuh.


Bagaimanapun, katanya, langkah pemulihan ekonomi mengambil sedikit waktu kerana negara pada waktu ini menanggung beban hutang yang menggunung mencecah RM1.5 trilion.


"Kerajaan ini mewarisi banyak perkara yang perlu diperbetulkan. Oleh itu fokus kerajaan adalah untuk mengukuhkan semula kedudukan fiskal dan langkah penjimatan.


"Antaranya, perubahan dan penyasaran semula beberapa dasar dan inisiatif selain memastikan tadbir urus yang cekap dan amanah," katanya kepada Suara Keadilan.

Muhammad Kamil Abdul Munim

Jelas Kamil yang juga Timbalan Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia itu, biarpun kerajaan berdepan cabaran ekonomi global namun prestasi pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar yang mengukuh memberi petunjuk baik kepada ekonomi negara.


Begitu juga halnya, kata beliau, nilai mata wang ringgit yang meningkat sepanjang minggu lalu menepati ramalan agensi kewangan akan mengukuh sepanjang 2024.


"Ringgit (semakin) mengukuh menepati jangkaan dan ramalan dari institusi kewangan dan pakar ekonomi dengan melihat kepada pengurusan dan dasar yang sedang dilakukan oleh kerajaan dan disokong dengan permintaan ringgit yang bertambah.


"Ini satu tanda yang baik namun tidak bermaksud kita harus selesa. Banyak perkara dan hal yang perlu dibereskan," ujarnya lagi.


Minggu lalu ringgit mengukuh kepada RM4.69 pada 14 Mac berbanding RM4.74 untuk satu dolar Amerika Syarikat pada awal Mac.


Pengukuhan itu menepati fakta fundamental ekonomi Malaysia yang kuat berikutan kemasukan pelaburan langsung asing beratus bilion ringgit sepanjang 2023.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page