Kerajaan MADANI laksana amanah dengan keberanian, kejujuran, ihsan
- Suara Keadilan

- 6 days ago
- 1 min read

Kerajaan MADANI akan terus melaksanakan amanah dengan penuh keberanian, kejujuran dan ihsan bagi memastikan kemakmuran negara dapat dinikmati oleh semua lapisan rakyat tanpa terkecuali.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam Perutusan Tahun Baharu 2026 menegaskan komitmen pentadbirannya untuk terus mengangkat martabat negara ke tahap lebih tinggi serta menjamin kemakmuran yang inklusif dan menyeluruh.
"Kerajaan MADANI beriltizam melaksanakan tanggungjawab dengan penuh kejujuran demi memberikan manfaat yang nyata kepada rakyat serta menjamin masa depan negara yang lebih terjamin dan sejahtera," katanya.
Beliau turut menyeru seluruh rakyat Malaysia agar melangkah ke tahun baharu dengan semangat kebersamaan yang kukuh serta tekad yang jitu bagi memperkukuh perpaduan nasional dan menjayakan agenda reformasi negara secara berterusan.
Menurut Anwar, kejayaan membina negara yang adil, makmur dan berdaya tahan hanya dapat dicapai sekiranya seluruh rakyat bergerak sederap, menyatukan langkah dan tekad dalam menjayakan gagasan Malaysia MADANI.
"Saya berharap kita dapat bergerak bersama membina Malaysia MADANI yang lebih adil, makmur dan berdaya tahan demi kesejahteraan rakyat keseluruhannya," ujarnya.
Dalam perutusan sama, Anwar bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut mendoakan agar tahun 2026 menjadi tahun yang lebih cemerlang dan bermakna buat seluruh rakyat Malaysia.
"Semoga negara tercinta ini terus kekal aman, harmoni dan makmur," katanya lagi.









Comments