Kerajaan MADANI kukuh usaha benteras penyelewengan dana awam


Kerajaan MADANI menerusi Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) bersetuju melaksanakan kajian undang-undang bagi merangka dasar dan draf Rang Undang-Undang Khairat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerangka dasar tersebut bagi mengawal selia entiti amanah serta pendanaan awam agar diurus secara telus dan bertanggungjawab.
"Saya tegaskan bahawa penguatkuasaan undang-undang hendaklah disertai pembudayaan integriti dan tatakelola baik secara berterusan dalam sektor awam, swasta serta masyarakat," katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Hantaran itu menyusul mesyuarat JKKTN dipengerusikan beliau di Putrajaya pada Khamis.
Anwar yang juga Menteri Kewangan sementara itu menjelaskan, mesyuarat tersebut memberi tumpuan kepada usaha membanteras ketirisan wang awam dan salah guna kuasa, khususnya membabitkan Badan Berkanun Persekutuan.
Mesyuarat turut bersetuju dengan cadangan pelaksanaan Pembudayaan Nilai Perkhidmatan Awam.
"Pada masa sama, dasar bagi Rang Undang-Undang Badan Berkanun dan Entiti Kawalan (Tadbir Urus Kewangan) akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri tahun ini bagi memperkukuh disiplin serta kebertanggungjawaban dalam pengurusan kewangan.
"Mesyuarat juga bersetuju dengan tujuh resolusi yang dibentangkan semasa Persidangan Penyelidikan Tatakelola, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Kali Kelima pada 25 September lalu," tambahnya.
Menerusi hantaran sama Anwar juga menegaskan komitmen kerajaan untuk terus memperteguh integriti perkhidmatan awam dan menutup ruang ketirisan serta salah guna kuasa.
"Setiap Ringgit wang awam adalah amanah rakyat yang mesti dijaga. Setiap kuasa yang diberikan mesti digunakan untuk menjamin kesejahteraan rakyat," jelasnya.




Comments