top of page

Kerajaan MADANI komited perkasa institusi pondok - Dr Zulkifli Hasan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Dec 21, 2025
  • 1 min read
Dr Zulkifli di Majlis Konvokesyen Pondok Moden Tahfiz Saadah Addaarain di Telok Panglima Garang
Dr Zulkifli di Majlis Konvokesyen Pondok Moden Tahfiz Saadah Addaarain di Telok Panglima Garang

Kerajaan MADANI terus komited untuk memperkasa dan mengukuhkan institusi pondok sebagai teras penting pembangunan pendidikan Islam di negara ini.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, pentadbiran semasa amat prihatin terhadap perkembangan institusi pondok dan telah menggerakkan pelbagai inisiatif ke arah pemerkasaan serta kelestariannya agar terus relevan dengan keperluan semasa tanpa menghakis tradisi keilmuan Islam.


"Institusi pondok sebagai medan pembinaan ilmu, adab dan pembentukan sahsiah ummah yang tidak ternilai.


"Kerajaan MADANI sangat prihatin dengan perkembangan institusi pondok dan akan terus berusaha sebaiknya ke arah pengukuhan serta pemerkasaan institusi ini," katanya dipetik di Majlis Konvokesyen Pondok Moden Tahfiz Saadah Addaarain di Telok Panglima Garang, Kuala Langat pada Sabtu.


Majlis konvokesyen itu menghimpunkan para graduan tahfiz yang berjaya menamatkan pengajian, sekali gus mencerminkan peranan berterusan institusi pondok dalam melahirkan generasi huffaz dan ilmuwan Islam yang berilmu serta berakhlak, selari dengan aspirasi Malaysia MADANI.


Beberapa tokoh dan penggerak pendidikan Islam termasuk Mudir Maahad Al-Quran Raudatus Solihin, Al-Fadhil Ustaz Fadhlulatif Abd. Jamil al-Banjari; Mudir Ribat Al-Masyhor, Al-Fadhil Ustaz Sahib Pamidi; Al-Fadhil Ustaz Abdul Rahim Daus (Maahad Sinar) serta Timbalan Yang Dipertua Ittihad AnNur, Al-Fadhil Ustaz Amir Haziq Amir Suhaimi turut hadir ke acara itu.


Sementara itu, Dr Zulkifli memaklumkan berkesempatan bertemu dengan Tuan Guru Abuya Mohd. Fadzil Ismail dan turut dianugerahkan Ijazah Hadis Musalsal dan Ijazah Bacaan Surah al-Fatihah daripada Pengasas Pondok Moden Tahfiz Saadah Addaarain itu.


"Saya duduk bersama dengan yang lain sebagai adab menuntut ilmu," tambah Dr Zulkifli.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page