Kerajaan MADANI komited perkasa golongan penjaja, peniaga kecil
- Suara Keadilan

- Nov 3
- 1 min read

Kerajaan MADANI komited untuk terus memperkasakan komuniti penjaja dan peniaga kecil melalui pelbagai inisiatif pendigitalan, pembiayaan dan pembangunan kapasiti.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, golongan itu dianggap wira ekonomi rakyat yang memacu pertumbuhan domestik serta kestabilan ekonomi negara.
"Setiap hari mereka berada di barisan hadapan — dari pasar pagi hingga penjaja malam — memastikan rakyat mendapat keperluan harian pada harga berpatutan.
"Mereka adalah wajah sebenar semangat niaga negara," katanya dipetik menerusi ucapan perasmian penutup Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan 2025 (HPPK2025) di Lurah Semantan, di Temerloh pada Ahad.
Teks ucapan tersebut dibacakan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Turut hadir Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Datuk Ewon Benedick dan timbalannya Datuk Seri R Ramanan.
Sementara itu menurut Anwar, kekuatan sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) terbukti apabila menyumbang sebanyak RM652.4 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun lepas dan menyediakan 8.1 juta peluang pekerjaan.
Justeru kerajaan jelasnya kerajaan berhasrat meningkatkan sumbangan PMKS kepada 50 peratus nilai KDNK menjelang 2030, selaras dengan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN2030).
"Antara inisiatif diberi tumpuan termasuk Program Jajahan Rakyat oleh KUSKOP dengan kerjasama Bank Rakyat
"Program ini bukan sekadar menyediakan kemudahan kewangan, tetapi turut mewujudkan suasana perniagaan yang kondusif dan berdaya saing," katanya.
Perdana Menteri menerusi ucapan tersebut juga menegaskan, usaha memperkasakan penjaja dan peniaga kecil turut dimantapkan menerusi Belanjawan 2026, yang memberi tumpuan kepada suntikan dana, bantuan pembiayaan dan galakan ke arah pasaran antarabangsa.









Comments