top of page

Kerajaan MADANI jamin khidmat rakyat di Petaling Jaya tidak terjejas

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
2 hours ago
1 min read

Kerajaan MADANI komited memastikan perkhidmatan kepada rakyat di Parlimen Petaling Jaya diteruskan, berikutan peletakan jawatan Ahli Parlimen kawasan itu pada Isnin lalu.


Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil (gambar) berkata, sebarang permohonan atau sumbangan bagi kawasan berkenaan akan diteliti oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Selangor di bawah Jabatan Perdana Menteri.


Selain ICU, khidmat sedia ada di kawasan berkenaan yang akan turut digerakkan ketua cabang Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Ahli Dewan Negeri (ADN) dan ahli majlis yang dilantik.


"Kita ada ketua cabang, kita ada ADUN, kita ada ahli majlis yang akan membantu untuk pastikan apa-apa permohonan termasuk untuk sumbangan dan sebagainya boleh diuruskan oleh pihak ICU Selangor.


"Jadi ada beberapa, sama ada ADUN ataupun di pihak cabang yang akan membantu untuk menguruskan perkara itu," katanya dipetik laporan media.


Fahmi sebelumnya diminta mengulas keputusan Lee Chean Chung melepaskan jawatan sebagai Ahli Parlimen Petaling Jaya tanpa syarat, berkuat kuasa 2 Oktober.

Beliau yang juga Ketua Penerangan KEADILAN sementara itu berkata, keputusan Chean Chung untuk tidak menghadiri program parti seterusnya meletak jawatan sudah dijangka.


"Beliau telah lama tidak menghadiri apa-apa mesyuarat parti, apa-apa program parti termasuk kongres baru-baru ini di Melaka dan itu pilihan beliau. Kita hormati pilihan beliau.


"Tapi seperti Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, khidmat kepada rakyat terutamanya di Parlimen Petaling Jaya akan diteruskan" katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page