Kerajaan Madani disaran tubuh Lembaga Penasihat Agama Bukan Islam
- Suara Keadilan
- Apr 24
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Kerajaan dicadang untuk mempertimbangkan penubuhan Lembaga Penasihat Agama Bukan Islam di peringkat nasional bertujuan menangani isu-isu rumah ibadat dan sensitiviti agama bukan Islam secara lebih tersusun, sistematik dan inklusif.
Perkara berkenaan disuarakan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa, Dr Gunaraj George yang berpendapat kewujudan lembaga seperti itu dapat melengkapi peranan struktur sedia ada di peringkat negeri.
Struktur sedia ada itu katanya adalah seperti Jawatankuasa Lima Agama (RIBI) yang kini berfungsi sebagai saluran komunikasi antara komuniti agama dan kerajaan, menyelesaikan isu antara agama secara harmoni dan menganjurkan program bersama serta memberikan nasihat dasar berkaitan perpaduan.
''Secara idealnya, sebuah lembaga penasihat di peringkat kebangsaan yang bekerjasama rapat dengan RIBI bukan sahaja dapat memperkukuh usaha melaksanakan penguatkuasaan menangani isu rumah ibadat, malah berupaya menyelesaikan pelbagai perkara yang sering membelenggu komuniti bukan Islam termasuk penggunaan istilah mengelirukan dan menyinggung perasaan.
''Ramai yang tidak sedar bahawa banyak rumah ibadat bukan Islam sebenarnya sah berdaftar dan mempunyai dokumen lengkap.
''Namun apabila istilah seperti ‘kuil haram’ digunakan semata-mata berdasarkan struktur fizikal tanpa mengambil kira konteks sejarah atau status sebenar, ia memberi persepsi negatif yang tidak adil terhadap agama tersebut,'' tegas beliau dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Dr Gunaraj berkata, pihaknya sememangnya menekankan keperluan pendekatan berasaskan kefahaman dan saling menghormati dalam menangani isu rumah ibadat serta zon guna tanah.
Oleh itu katanya, Lembaga Penasihat Agama Bukan Islam yang dicadangkan itu boleh memainkan peranan penting seperti menyelaras pendaftaran rumah ibadat bukan Islam dan menjadi perantara dalam isu tanah dan zon guna tanah.
Selain itu beliau berpendapat, lembaga berkenaan juga boleh berfungsi dalam menyediakan garis panduan dan nasihat kepada pertubuhan agama serta merangka dasar dan pendekatan lebih inklusif bagi memastikan keadilan kepada semua komuniti agama.
''Penggunaan istilah seperti ‘struktur tidak berdaftar’ atau ‘bangunan tanpa kelulusan’ adalah lebih tepat dan profesional, serta lebih menghormati sensitiviti semua pihak.
''Namun, kita perlukan institusi khusus yang mempunyai kepakaran dan autoriti untuk memberikan nasihat serta panduan dalam hal ini.
''Sebagai langkah susulan, saya turut menggesa Kementerian Perpaduan Negara terutamanya melalui Bahagian Keharmonian Antara Penganut Agama (BKAPA), agar memperkukuh peranannya dalam pendidikan dan advokasi perpaduan,'' ujarnya lagi.
Comments