Kerajaan MADANI berjaya angkat nilai perpaduan melalui Riuh Merdeka
- Suara Keadilan

- Sep 8
- 2 min read

Oleh: Hasbul Ahmad
Penganjuran Riuh Merdeka sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68 baru baru ini berjaya menyokong hasrat kerajaan MADANI untuk menjadikan budaya sebagai wahana penyatuan rakyat, selain memperkukuh identiti Malaysia sebagai negara berbilang kaum dan agama.
Pengarah Komunikasi KEADILAN Selangor, Dr Fauzi Fadzil berkata, inisiaitf Kementerian Komunikasi mengisi sambutan kemerdekaan dengan pelbagai acara selama 30 jam tanpa henti bukan sahaja menyemarakkan sambutan kemerdekaan, malah memberi peluang kepada penggiat seni tempatan memperlihatkan bakat serta kreativiti mereka kepada khalayak lebih luas.
"Usaha yang dilakukan Kementerian Komunikasi ini menghidupkan kembali semangat kita untuk mewujudkan sebuah negara bangsa Malaysia.
"Perjalanannya masih jauh, tetapi sekurang-kurangnya ada usaha nak memggiatkan usaha ni. Kita sebagai sebuah bangsa, sebuah negara, sudah tentu kita hendak mengangkat kebudayan dan sejarah negara kita.

"Bukan sahaja kebudayaan masyarakat peribumi di negara ini, tetapi kita meraikan rakan-rakan kita dari bangsa lain," kata Dr Fauzi ketika dihubungi Suara Keadilan.
Tambah beliau semangat patriotisme, cintakan negara dan mengenang jasa para pejuang kemerdekaan juga dapat dididik dan disemai dalam program seumpama itu.
"Melalui program dan temasya seperti ini, kita dapat lihat orang ramai mengibarkan jalur gemilang. Kempen-kempen perpaduan juga boleh dilakukan.
"Dan kita juga masih ada masa untuk teruskan dan sambung sambutan Bulan Kemerdekaan ini hingga 16 September depan," katanya lanjut.
RIUH Merdeka 2025 yang dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi berlangsung di Tapak Parkir Monumen Alaf Baru, Putrajaya menarik lebih 30,000 pengunjung sepanjang 30 jam bermula pukul 12 tengah hari 30 Ogos sehingga pukul 6.00 petang 31 Ogos.
Program RIUH MERDEKA bertujuan untuk menyemarakkan semangat patriotisme melalui seni, budaya dan kreativiti serta turut menjadi platform buat penggiat industri kreatif menonjolkan bakat, membuka peluang perniagaan serta merapatkan hubungan komuniti.
Pelbagai pengisian menarik disediakan sepanjang tempoh 30 jam program itu berlangsung, antaranya persembahan artis, bengkel seni, persembahan kebudayaan, tayangan filem tempatan.
Selain hiburan, acara berkenaan juga menghimpunkan lebih 30 jenama pakaian dan produk gaya hidup serta 50 peniaga makanan dan minuman, menjadikannya platform yang menyatukan komuniti melalui kreativiti, perniagaan, dan budaya.









Comments