Empat dekad masalah Rumah Panjang Bukit Kiara, Kerajaan MADANI selesaikan
- Suara Keadilan
- 20 hours ago
- 2 min read

Penantian lebih empat dekad penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara akhirnya berakhir apabila Majlis Pecah Tanah Perumahan Kekal bagi kawasan itu dilaksanakan hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, detik tersebut bukan sahaja membahagiakan penduduk setempat, malah mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam mengangkat keadilan, ihsan dalam usaha membela dan menyediakan kediaman kepada rakyat marhaen di negara ini.
"Hari ini merupakan detik yang amat bermakna dan membahagiakan, bukan sahaja buat penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara, malah menjadi bukti bahawa pentadbiran yang berteraskan nilai MADANI sentiasa mengangkat keadilan, ihsan dan martabat rakyat sebagai keutamaan," katanya dalam muat naik di media sosial.
Menurut beliau, selepas 44 tahun menghuni penempatan sementara dalam keadaan serba kekurangan, usaha berterusan kerajaan akhirnya membuahkan hasil melalui pembangunan perumahan kekal untuk penduduk.
Anwar berkata, kerajaan telah meneliti pelbagai pendekatan bagi menyelesaikan isu tersebut dengan mengambil kira kepentingan penduduk serta pematuhan terhadap proses perundangan dan institusi negara.
"Ucapan saya sewaktu majlis tersebut menyentuh usaha Kerajaan yang meneliti jalan terbaik bagi merungkai permasalahan yang berlarutan sejak sekian lama dan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat demi memastikan penduduk memperoleh hak serta jaminan kehidupan yang lebih teratur dan bermaruah," katanya.

Tegas beliau, keseluruhan proses itu mengajar kita tentang pentingnya menghormati proses perundangan serta institusi negara dan Kerajaan tetap berpegang teguh kepada prinsip bahawa hak dan kebajikan golongan yang memerlukan mesti terus dipelihara, dengan keadilan yang dinikmati oleh semua rakyat tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang selain memastikan agenda membela nasib golongan miskin bandar terus menjadi keutamaan.
Beliau turut menegaskan bahawa pembangunan yang dilaksanakan perlu bersifat inklusif dan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang.
"Kemajuan sebenar sesebuah negara hanya bermakna apabila tiada rakyat yang tercicir atau dipinggirkan daripada arus pembangunan," katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan geran sebanyak RM1 juta bagi membantu meringankan beban penduduk, khususnya melalui subsidi penyelenggaraan kediaman untuk tempoh tiga tahun.
"(Peruntukan ini akan) diuruskan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai sebahagian daripada komitmen kerajaan memastikan kesejahteraan dan kualiti hidup penduduk terus terpelihara selepas berpindah ke penempatan baharu," katanya.
Beliau menambah, usaha tersebut selaras dengan agenda kerajaan untuk terus membela nasib golongan miskin bandar serta memastikan setiap rakyat menikmati kehidupan yang lebih teratur dan bermaruah.
