Kerajaan Madani bantu Kelantan lebih dari 'wajib', Pas perlu hargai
- Suara Keadilan
- 49 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Usaha Kerajaan MADANI dalam membina infrastruktur, menangani isu bekalan air, mempercepat projek lebuh raya, menambah baik sistem pendidikan dan menyalurkan sumbangan kepada institusi pondok di Kelantan merupakan langkah nyata dan bukan sekadar laungan retorik semata-mata.
Timbalan Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Kelantan, Wan Hafriz Wan Mahathir (gambar) berkata, inisiatif Kerajaan Persekutuan membantu Kelantan bukan sekadar memenuhi tuntutan Perlembagaan, tetapi ia menuntut keikhlasan, komitmen, dan kesediaan menghulur lebih daripada sekadar 'yang wajib' demi menutup jurang pembangunan berdekad-dekad lamanya.
''Politik matang dan sejahtera yang sering disebut Pas sepatutnya diterjemahkan dengan sikap saling menghargai, bukan mengkritik ketika bantuan dihulurkan.
''Menghormati federalisme bukan hanya ketika menyambut rombongan kerajaan, tetapi juga dalam menghargai niat baik dan kerja keras Kerajaan Persekutuan, walaupun berbeza fikrah parti.
''Royalti dan hak rakyat Kelantan memang isu penting, namun mengangkat tuntutan itu tidak sepatutnya menjadi alasan untuk menafikan atau memperlekeh bantuan lain yang sedang berjalan apatah lagi ia datang tanpa syarat politik, hanya demi kebajikan rakyat Kelantan,'' katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Wan Hafriz, laungan 'Turun Anwar' atau qunut nazilah terhadap PM Anwar sedang berusaha membantu Kelantan jelas bercanggah dengan semangat Budaya Politik Matang dan Sejahtera yang diwar-warkan sendiri oleh Pas.
Wan Hafriz menyifatkan tindakan tersebut sebagai cerminan politik dendam dan penolakan membuta tuli, bukannya perjuangan berprinsip demi kepentingan rakyat.
''Rakyat Kelantan berhak mendapat pembangunan, tetapi mereka juga berhak melihat pemimpin negeri menghargai sesiapa sahaja yang mengusahakannya, termasuk PM Anwar.
''Berbeza politik tidak bermakna hilang adab, menegakkan hak tidak bermakna menolak budi.
''Kelantan selama ini dikenali dengan budi bahasa dan budaya hormat-menghormati.
''Maka, adalah memalukan jika pemimpinnya lupa mengucap terima kasih ketika bantuan sampai ke tangan rakyat hanya kerana perbezaan warna bendera,'' bidas beliau.