Kerajaan lulus bantuan RM2 bilion untuk masyarakat India - PM
- Suara Keadilan

- Oct 18
- 2 min read

Kerajaan Madani melakukan yang terbaik dalam membela masyarakat India di Malaysia dengan meluluskan bantuan sekitar RM2 bilion untuk masyarakat berkenaan.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bantuan diberi dalam pelbagai bentuk termasuk pinjaman dan biasiswa bagi meningkatkan taraf hidup kaum India.
"Jadi rakan-rakan yang sebelah sana termasuk beberapa wakil India (pembangkang) dia tak pernah bercakap soal ini. Saya bagi contoh, umpamanya, Skim Jaminan Kredit Perumahan. Salah satu masalah besar kita adalah rumah, sewa mahal, beli tidak mampu. Maka kerajaan sediakan pinjaman perumahan.
"Berapa untuk masyarakat India yang kita luluskan bagi tahun 2024? 2 bilion ringgit. Ya. Tapi ini tak ada dalam media, not in the narrative. The narrative is MITRA — 100 juta ringgit. MITRA itu satu portion yang sangat kecil daripada keseluruhannya.
"Tahun ini, 2025, dan unjuran untuk Belanjawan 2026, untuk Skim Jaminan Perumahan Kredit Perumahan masyarakat India itu RM1.6 bilion. SJPP, Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan untuk India berniaga, RM600 juta. Tapi untuk tahun ini, kita teruskan dengan RM600 juta untuk Skim Jaminan Pembiayaan Masyarakat India untuk peluang anak-anak muda berniaga," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan di Rumah Terbuka Deepavali Madani 2025 di KL Sentral, Kuala Lumpur hari ini.
Selain itu, katanya, kerajaan mengambil berat pendidikan masyarakat India kerana dengan pendidikan sahaja kemiskinan kaum India boleh diperbaiki.
Kerajaan juga tahun ini menambah tempat sebanyak 1,500 kepada lepas Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) untuk masuk ke universiti awam.
Dengan itu peluang lebih luas kepada anak anak luar bandar memasuki pendidikan tinggi, termasuk daripada kalangan masyarakat India.
"Jadi kita kena beri satu peluang anak-anak STPM yang cemerlang masuk ke universiti dengan 1,500 tempat baru di semua universiti dalam bidang accountancy, engineering, medicine, digital, language. Itu yang kita putuskan," katanya.
Untuk rekod, kerajaan memperuntukkan 1,500 tempat untuk lepasan STPM dan matrikulasi cemerlang bagi program ijazah sarjana muda di lima universiti penyelidikan utama. Peruntukan ini sebahagian daripada Belanjawan 2026 dan dibuka kepada semua kaum.









Comments