Kerajaan lancar program ganti kenderaan lama, insentif sehingga RM4,000
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 1 min read

Kerajaan memperuntukkan RM10 juta bagi membantu kira-kira 5,000 pemilik kenderaan menggantikan kenderaan lama mereka menerusi Program Geran Padanan bagi Penggantian Kenderaan Lama, dengan tumpuan hanya kepada jenama automotif nasional.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook (gambar), berkata inisiatif di bawah Belanjawan 2026 itu disasarkan kepada pemilik kenderaan berusia lebih 20 tahun bagi menggalakkan peralihan kepada kenderaan baharu yang lebih selamat, cekap dan mesra alam.
Menerusi program berkenaan, pemilik kenderaan yang layak boleh menerima sehingga RM2,000 daripada pengeluar Malaysia, yang kemudiannya akan dipadankan oleh kerajaan untuk jumlah manfaat RM4,000 bagi pembelian kereta baharu.
"Pendekatan geran padanan ini memastikan kerajaan dan industri berkongsi tanggungjawab, sekali gus memberikan impak kewangan yang lebih bermakna kepada rakyat," katanya dipetik selepas majlis peluncuran program itu di Putrajaya pada Selasa.
Sementara itu Menurut Loke, program berkenaan diwujudkan sebagai intervensi keselamatan jalan raya dengan matlamat mengurangkan bilangan kenderaan lama yang tidak lagi selamat digunakan di jalan raya.
Kenderaan lama lazimnya terdedah kepada kegagalan mekanikal, kurang ciri keselamatan moden serta tidak memenuhi piawaian keselamatan semasa, sekali gus meningkatkan risiko kemalangan.
Beliau turut memberitahu, kenderaan diganti di bawah program ini akan dilupuskan melalui kemudahan ‘authorised automotive treatment facilities’ (AATF) bagi memastikan proses peleraian dilakukan sah, profesional, dan mematuhi piawaian alam sekitar, serta mengelakkan kenderaan lama tidak kembali ke jalan raya secara haram.
Pada pelancaran tersebut, Loke turut memaklumkan, satu inisiatif berasingan akan diperkenalkan untuk menggantikan teksi lama dengan kenderaan baharu.
Di bawah skim itu, teksi lama akan dipadankan dengan kenderaan baharu melalui aturan pembayaran yang mampu milik.
Program ini jelasnya dijangka dilancarkan dalam tempoh satu hingga dua bulan akan datang.









Comments