Kerajaan lancar laman web Malaysia-SuluCase, lawan dakyah tuntutan Sulu
- Redzuan Shamsudin
- Apr 12, 2023
- 2 min read

Kerajaan Madani hari ini melancarkan laman sesawang Malaysia-SuluCase.gov.my yang memaparkan cerita sebenar sejarah hubungan kerajaan Malaysia dan Kesultanan Sulu yang tidak banyak diketahui umum.
Menurut kenyataan yang di keluarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said; Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, laman web tersebut merangkumi semua maklumat berkaitan kes tuntutan dan saman pihak yang mengaku sebagai waris Sultan Jamalul Kiram II (Sultan Sulu) terhadap Malaysia.
"Laman sesawang Malaysia-SuluCase.gov.my ini adalah satu langkah Kerajaan untuk memberikan naratif sejarah dan kronologi kes perundangan di pelbagai bidang kuasa yang betul dan sahih.
"Terdapat pelbagai kemusykilan pada “fakta-fakta” kes yang dikemukakan oleh pihak yang mendakwa diri mereka sebagai waris Sultan Sulu.
"Antaranya sehingga kini tidak ada apa-apa bukti yang menunjukkan bahawa penuntut-penuntut ini benar-benar waris kepada Sultan Sulu.
"Ini berbeza dengan kes Kerajaan Malaysia, yang mana ada laporan Suruhanjaya Cobbold 1963 di mana Sabah telah membuat pilihan untuk bersama-sama dengan Semenanjung dan Sarawak bagi membentuk Negara Malaysia," ujar kenyataan 3 menteri berkenaan.
Menurut kenyataan itu lagi, memandangkan Malaysia sedang berhadapan dengan prosiding di beberapa buah negara Eropah seperti Sepanyol, Perancis, Luxembourg dan Belanda maka adalah penting bagi memastikan penyebaran maklumat kes berkenaan tepat sekaligus menafikan penyebaran berita yang tidak benar
Laman sesawang Malaysia-SuluCase.gov.my tersebut juga akan dikemaskini selari dengan perkembangan semasa kes yang sedang berlangsung.
"Laman ini boleh diakses dalam lima bahasa iaitu Melayu, Inggeris, Perancis, Sepanyol, dan Tagalog. Ini bagi membolehkan pelbagai pihak serta media antarabangsa mengikuti dan memahami kes ini melalui fakta dan informasi sebenar yang dikemukakan oleh Kerajaan Malaysia.
"Kerajaan berharap rakyat Malaysia akan mengakses serta mengikuti kes ini dengan teliti melalui laman sesawang yang dibangunkan kerana sebarang keputusan yang memihak kepada pihak penuntut akan mempunyai kesan besar dan serius kepada kedaulatan dan keselamatan negara," kata kenyataan itu lagi.
Kerajaan Malaysia, menurut kenyataan itu turut menegaskan akan terus memelihara kepentingan, kekebalan kedaulatan, dan kedaulatan negara Malaysia pada setiap masa dan mengambil segala tindakan yang perlu bagi menghentikan tuntutan waris Kesultanan Sulu.
Comments