
Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan terus komited memperkasa masyarakat menerusi tranformasi digital seiring dengan aspirasi Malaysia Madani.
Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Ahmad Fahmi Fadzil berkata demikian sempena lawatan kerja beliau ke Sarawak semalam.
Katanya, pelan tranformasi digital KKD dirancang untuk merapatkan jurang digital di Sarawak selain memastikan rungutan yang sering diadukan penduduk dapat diselesaikan.
Mengulas masalah telekomunikasi di Sarawak pula, beliau melihat sendiri fasiliti di menara telekomunikasi Kampung Trombol, Kuching yang berdepan masalah naked tower (menara satelit tanpa peralatan telekomunikasi)
Sehubungan itu, Fahmi memberi jaminan untuk segera meneliti bentuk tindakan dan usaha menyelesaikan masalah tersebut.
Beliau juga akan mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memanggil semua syarikat telekomunikasi bagi membincangkan jalan penyelesaian terbaik ke atas isu tersebut.
"Antara sebab saya ingin datang melihat sendiri keadaan ini ialah untuk mencari jalan penyelesaian... untuk ada Internet berkualiti, kita perlukan menara yang ada kuali (parabola)... ada kuali, insya-Allah kita dapat Internet berkualiti," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian JIWA Kita MADANI pada Sabtu.
Sementara itu, beliau berkata perancangan terbaharu untuk negeri Sarawak kini melibatkan kajian teknikal untuk memasang alat telekomunikasi di 42 tangki air aras tinggi bagi memastikan liputan dapat diperluas.
Pembangunan jaringan komunikasi di Sarawak akan dijadikan contoh untuk dilaksanakan di negeri-negeri lain di Malaysia.