Kerajaan komited jaga kebajikan keluarga misi GSF ke Gaza
- Suara Keadilan

- Sep 27
- 1 min read

Kerajaan MADANI melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia komited memastikan kebajikan ahli keluarga 34 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla ke Gaza.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, langkah itu penting bagi memastikan kebajikan ahli keluarga terbela memandangkan ia melibatkan aspek emosi.
"JAKIM memang ada spiritual counsellor, jadi mereka ni boleh turun untuk bantu (ahli keluarga) kalau katakan ada tekanan sebab orang yang tersayang ada di lautan.
"Bantuan kewangan juga akan disalurkan jika diperlukan oleh keluarga terbabit," katanya dipetik.
Dr Mohd Na'im berkata begitu kepada pemberita selepas melawat Sumud Nusantara Command Centre di Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Central Warehouse di Sepang pada Jumaat.
Sementara itu beliau turut menyifatkan misi yang disertai 34 rakyat Malaysia itu sebagai satu usaha murni yang tidak semua orang mampu lakukan.
"Misi GSF ini jelas, tujuan dia adalah untuk menghantar bantuan ubatan dan juga makanan kepada rakyat yang berada di Gaza," tambahnya.
Seramai 34 rakyat Malaysia menyertai misi GSF yang kini berada di perairan antarabangsa berhampiran Greece.
Mereka dijangka memasuki zon kuning pada bila-bila masa sebelum dijadual tiba di perairan Gaza pada akhir bulan ini.
Selain membawa bekalan makanan, ubat-ubatan, misi itu menggesa agar peperangan dan krisis kebuluran dihentikan selain menuntut pembukaan akses koridor kemanusiaan ke Gaza.
Dr Mohd Na'im sementara itu merakamkan penghargaan kepada warga media yang memberikan liputan berterusan dan menyampaikan naratif tepat mengenai misi tersebut.
Media tegasnya memainkan peranan penting dalam membina semangat rakyat dan menyampaikan maklumat yang benar.









Comments