Kerajaan kekalkan subsidi LPG untuk PMKS - Dr Fuziah
- Suara Keadilan
- Aug 22
- 1 min read

Sebanyak 489 kes melibatkan aktiviti penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi dikesan, membabitkan nilai rampasan berjumlah RM3.1 juta sejak 2024 hingga 18 Ogos lepas.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh (gambar) berkata, Op Gasak bermula 1 Mei hingga 31 Okt ini mensasarkan usaha menangani penyalahgunaan subsidi LPG oleh sektor tidak layak dalam industri komersial dan perniagaan berskala besar.
"Antara bentuk penyelewengan yang disasarkan ialah menangani kegiatan ‘decanting’, iaitu pemindahan LPG secara haram daripada tong bersubsidi ke tong industri ataupun tong komersial.
"KPDN turut akan memanfaatkan penggunaan teknologi digital bagi memperkasa pemantauan serta penguatkuasaan berkaitan pengedaran, penyimpanan dan penggunaan LPG bersubsidi di pasaran," kata dipetik pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Khamis.
Sementara itu sebagai menjawab soalan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) yang ingin mengetahui usaha kerajaan mengurangkan beban kos PMKS seperti warung dan gerai makan berkata, golongan tersebut boleh terus memanfaatkan subsidi LPG.
"Kerajaan tidak melaksanakan penyasaran subsidi bagi produk gas petroleum cecair (LPG), sekali gus membolehkan semua perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) terus menikmatinya.
"Sehubungan itu, penggunaan subsidi LPG oleh PMKS, terutama dalam sektor makanan sewajarnya tidak melibatkan kenaikan harga produk jualan mereka," jelasnya.
Comments