top of page

Kerajaan Johor, Persekutuan perlu seiring demi percepat pembangunan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 hour ago
  • 2 min read

Pakatan Harapan (PH) menyifatkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai peluang untuk mewujudkan Kerajaan Negeri yang bergerak seiring dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan agenda pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih lancar dan memberi manfaat kepada rakyat.


Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata penyelarasan antara kedua-dua kerajaan penting bagi mengelakkan pelaksanaan dasar dan projek pembangunan Persekutuan dipersulitkan di peringkat negeri.


"Kami menganggap bahawa pilihan raya negeri Johor ini, jika para pengundi memberi peluang kepada Pakatan Harapan, kita akan mempunyai sebuah Kerajaan Negeri yang bergerak seiring dengan Kerajaan Persekutuan," katanya kepada pemberita usai mengiringi calon DUN Puteri Wangsa, Dr Maszlee Malik di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Dato Onn.


Menurut beliau, Johor merupakan negeri penting dalam agenda pembangunan negara dan Kerajaan MADANI telah membuktikan komitmennya menerusi pelbagai inisiatif berimpak tinggi.


"Banyak dasar Kerajaan Persekutuan yang memberikan manfaat besar kepada negeri Johor. Kita cuba mengelakkan keadaan di mana perancangan di peringkat pusat dipersulitkan di peringkat Johor," katanya.


Saifuddin berkata, antara contoh terbaik ialah pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang disifatkannya sebagai model kerjasama unik melibatkan dua negara bagi menarik pelaburan ke Johor.


"Saya ambil contoh Johor-Singapore Special Economic Zone (JS-SEZ). Ia unik kerana lokasinya di Johor, tetapi usaha promosi dan menarik pelaburan dilakukan oleh dua buah negara. Ini merupakan satu bentuk kerjasama yang sangat unik," katanya.


Beliau berkata, kejayaan JS-SEZ memerlukan sokongan Kerajaan Negeri yang selari dengan agenda pembangunan Persekutuan.


Apatah lagi, katanya, kepimpinan kedua-dua negara, Menteri Malaysia dan Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, bertemu dalam Annual Leaders’ Retreat untuk membincangkan agenda ekonomi dan pembangunan kedua-dua negara.


"Bayangkan sekiranya Kerajaan Negeri Johor tidak seiring atau mempersulitkan usaha tersebut. Sudah tentu ia tidak membantu ketika manfaat yang besar sedang menunggu rakyat," ujarnya.


Selain itu, beliau berkata, Kerajaan Persekutuan turut memberi tumpuan kepada penambahbaikan sistem pergerakan di sempadan Malaysia-Singapura menerusi pembangunan sistem imigresen baharu, MyNIISe, yang menggantikan MyIMMs dengan peruntukan lebih RM1 bilion.


"Matlamat akhirnya ialah memudahkan pergerakan rakyat. Setiap hari terdapat kira-kira 300,000 pergerakan dan ketika musim cuti boleh mencecah 500,000 pergerakan. Sudah tentu kita tidak boleh lagi bergantung kepada cop pasport secara manual," katanya.


Beliau berkata, projek Rapid Transit System (RTS) yang dijadual mula beroperasi pada Disember ini juga bakal mengubah landskap pergerakan rentas sempadan.


"Kereta api RTS mampu membawa sehingga 10,000 penumpang sejam. Pada permulaan operasi Disember nanti, kita menjangkakan sekitar 40,000 hingga 50,000 penumpang sehari. Apabila projek ini mencapai kapasiti penuh, ia mampu membawa sehingga 150,000 penumpang sehari."


Menurut beliau, kemudahan itu akan mengurangkan kesesakan di Tambak Johor serta menyokong kejayaan JS-SEZ.


Dalam pada itu, Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri memberi jaminan bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menyediakan pelan tindakan bagi memastikan tiada gangguan di pintu masuk negara pada hari pengundian pada 11 Julai ini.


"Kementerian Dalam Negeri telah pun menubuhkan satu pasukan khas untuk menangani sebarang kemungkinan sekiranya berlaku gangguan. Sudah tentu kita berharap ia tidak berlaku. Namun, jika berlaku, kita telah menyediakan pelan tindakan termasuk Pelan A dan Pelan B. Itulah arahan yang telah saya berikan kepada KDN," katanya.


Beliau menegaskan keutamaan kerajaan adalah memastikan urusan keluar masuk di sempadan berjalan lancar sepanjang tempoh pilihan raya.


"Keutamaan kita sekarang ialah memastikan pada 11 Julai nanti tidak berlaku sebarang gangguan yang boleh menjejaskan proses keluar masuk di sempadan," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page