Kerajaan jimat RM800 juta sejak pelaksanaan penyasaran subsidi BUDI95 – PM
- Suara Keadilan
- 21 minutes ago
- 1 min read

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa langkah penyasaran subsidi minyak yang dilaksanakan Kerajaan MADANI menerusi inisiatif BUDI95 merupakan keputusan berani yang tidak pernah dilaksanakan oleh kerajaan-kerajaan terdahulu walaupun dibincangkan sejak lebih 20 tahun lalu.
Menurut beliau, isu penyasaran subsidi minyak telah lama menjadi perbincangan dalam pentadbiran negara, namun kekurangan keberanian dan tekad politik menyebabkan ia tidak pernah direalisasikan.
"Sejak lebih 20 tahun lalu, penyasaran subsidi minyak telah dibincangkan oleh setiap Kerajaan yang memerintah, namun tiada yang punyai keberanian dan tekad politik untuk melaksanakannya," katanya dalam muat naik di media sosial.
Anwar berkata, pelaksanaan BUDI95 bertujuan memastikan subsidi minyak hanya dinikmati oleh rakyat Malaysia dan tidak terus disalahgunakan oleh lebih 3.5 juta warga asing serta aktiviti penyeludupan bahan api ke luar negara.
"Kerajaan MADANI telah mengambil langkah berani menerusi BUDI95 untuk memastikan subsidi ini hanya dinikmati rakyat Malaysia, dan tidak terus dihirup lebih 3.5 juta warga asing serta puluhan ribu liter yang diseludup ke luar negara," jelas beliau.
PM memaklumkan bahawa hasil daripada langkah berani tersebut, kerajaan berjaya menjimatkan sebanyak RM800 juta setakat ini.
"Hasil keberanian ini menyaksikan kita menjimatkan RM800 juta setakat ini, dan setiap daripadanya dipulangkan kembali kepada rakyat melalui STR dan SARA, selain menaik taraf klinik dan hospital, memperbaiki jalan raya serta memperkukuh prasarana negara," katanya.
Perdana Menteri menegaskan bahawa pendekatan Kerajaan MADANI adalah memastikan subsidi disasarkan dengan lebih adil dan berkesan, agar manfaatnya benar-benar dirasai oleh rakyat yang memerlukan, di samping menjamin kelestarian kewangan negara.





