
Kerajaan berjaya menjimatkan RM3 bilion apabila menender semula projek runding terus amalan kerajaan sebelum ini.
Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata projek runding terus amalan yang lepas telah menyebabkan berlaku pembaziran kewangan negara.
"Pelaksanaan perolehan Kerajaan misalnya, mesti telus dan terbuka berlandaskan tatakelola yang baik. Tidak boleh sewenang-wenangnya berlaku pembaziran wang rakyat dan pelanggaran hukum menggunakan kaedah rundingan terus.
"Faktanya, projek tebatan banjir 15 bilion ringgit dan Jana Wibawa RM7 bilion yang dibuat secara rundingan terus sebelum ini telah dibatalkan.
"Setelah sebilangannya ditender semula secara telus, negara dijangka boleh jimat sehingga RM3 bilion. Penjimatan besar seperti
ini akan diagih semula untuk dimanfaatkan melalui projek rakyat yang lain," katanya.
Menurut Anwar, kerajaan juga akan segera membentangkan Akta Perolehan Kerajaan agar urusan tender menjadi lebih telus. Akta yang diluluskan akan memastikan perolehan tender kerajaan tidak boleh dimanipulasi oleh mana mana kerajaan pada masa hadapan.
"Kerajaan pada 2019 telah mencadangkan pembentangan Akta Perolehan Kerajaan di Dewan ini, namun telah ditangguhkan sewaktu pentadbiran Kerajaan lalu. Kerajaan Perpaduan bercadang untuk membentangkan Akta ini segera," katanya.
Selain itu, satu lagi akta akan diluluskan iaitu Akta Perlindungan Pemberi Maklumat bagi memastikan pemberi maklumat akan dilindungi dan akan dibawa ke Dewan Rakyat pada kadar segera.