
Kerajaan sentiasa mengikut lunas Perlembagaan Persekutuan, Perkara 10 berhubung hak kebebasan bersuara.
Hal itu ditegaskan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKD), Ahmad Fahmi Fadzil (PH - Lembah Pantai) dalam sesi menjawab pertanyaan di Dewan Rakyat, sebelah pagi.
Menurut Fahmi, Kerajaan sentiasa menyokong dan mempertahan kebebasan media serta menjamin kebebasan bersuara asalkan tidak melibatkan fitnah.
"Bagaimanapun harus diingatkan hak yang dimiliki bukan bersifat penuh dan mutlak dan harus dilaksanakan secara bertanggungwajab dan beretika serta mengambil kira kepelbagaian budaya dan agama yang mengambil kira kemajmukan masyarakat Malaysia.
"Ingat hak bersuara bukan hak memfitnah. Akta Hasutan 1948 dan Akta Rahsia Rasmi 1972 bukan di bawah bidang kuasa KKD. Walau bagaimanapun Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atau 588 di bawah kementerian ini tidak pernah bertindak untuk menghadkan kebebasan media selagi mana penggunaan media elektronik tidak melanggar akta tersebut, khususnya di bawah peruntukan Seksyen 211 dan Seksyen 233.
"Akta ini bagi media dalam talian dan penyiaran, sebaliknya tidak terpakai bagi media cetak yang tertakluk di bawah Akta Mesen Cetak 1984. Seseorang yang melanggar Akta 588 yang melakukan kesalahan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebiti RM50,000 dan dipenjarakan selama tidak lebih 1 tahun atau kedua duanya," katanya menjawab soalan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim (PN - Arau).
Dalam soalan tambahan, berkenaan panduan komuniti (community guideline) pengendali media sosial pula, Fahmi berkata, panduan komuniti telah ditetapkan oleh syarikat penyedia perkhidmatan dan kerajaan hanya memantau pelaksanannya.
Fahmi turut ditanya perlukah wartawan tidak lagi menggunakan perkataan 'sumber' merujuk kepada pemberi maklumat berita.
"Bagi mana mana penyedia perkhidmatan media sosial yang dikendalikan oleh Meta, semua syarikat ini ada garis panduan sendiri, pihak kerajaan tidak memberi input apa isi kandingan community guideline. Syarikat Tiktok misalnya menurunkan content berdasarkan community guideline dan hampir 95% content diturunkan berdasarkan AI.
"Mengenai maklumat berdasarkan sumber saya setuju dengan YB Arau, perlu ada titik keseimbangan di antara sumber yang dikatakan benar atau tak benar. Kita juga ambil maklum di kalangan wartawan mereka juga ada hak memastikan keselamatan identiti sumber mereka, tetapi ia perlu diseimbangkan dengan isu fitnah," katanya.