top of page

Kerajaan jaga rakyat: Perlindungan 24 jam PERKESO, pinda Akta Sewa Beli

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • Jun 3
  • 2 min read

Wanita KEADILAN Pusat menyifatkan pelaksanaan pelbagai dasar baharu bermula 1 Jun lalu oleh Kerajaan MADANI sebagai langkah reformasi penting yang memberi manfaat langsung kepada rakyat, khususnya dalam aspek kebajikan pekerja, perlindungan pengguna dan keselamatan dalam talian.


Exconya, Junaidah Makku@Junn (gambar) berkata, antara inisiatif yang mendapat perhatian ialah pelaksanaan Skim Lindung 24 Jam PERKESO, yang memberi perlindungan keselamatan sosial lebih menyeluruh kepada pekerja, termasuk di luar waktu bekerja.


Katanya, usaha tersebut merupakan satu perkembangan positif dalam memastikan kebajikan pekerja sentiasa terpelihara.


"Selain itu, penambahbaikan terhadap Akta Sewa Beli (Pindaan) 2026 dan perubahan dalam kaedah pengiraan pinjaman kenderaan dijangka memberikan perlindungan yang lebih baik kepada pengguna, sekali gus mewujudkan transaksi yang lebih telus dan adil.


"Dalam era digital yang semakin mencabar, langkah memperkukuh kawal selia terhadap platform media sosial dan kandungan dalam talian juga amat bertepatan.


"Penguatkuasaan yang lebih berkesan mampu membantu melindungi pengguna daripada ancaman penipuan, eksploitasi serta penyebaran kandungan yang memudaratkan," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut Junaidah yang juga Ketua Penerangan Wanita Pakatan Harapan (PH) Sabah, pihaknya turut menyokong usaha memperketat akses media sosial bagi pengguna di bawah usia 16 tahun sebagai langkah pencegahan untuk melindungi kanak-kanak dan remaja daripada risiko buli siber, gangguan dalam talian serta pengaruh kandungan yang tidak sesuai.


Pada masa yang sama ujarnya, kesinambungan pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) secara percuma serta penambahbaikan dasar berkaitan tenaga kerja asing menunjukkan komitmen kerajaan dalam merangsang aktiviti keusahawanan dan memperkukuh peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan.


Junaidah menyifatkan, kesemua langkah itu membuktikan bahawa agenda reformasi dan pembangunan negara terus diterjemahkan melalui dasar-dasar yang memberi impak langsung kepada kehidupan rakyat.


"Langkah-langkah ini juga mencerminkan kesungguhan Kerajaan MADANI dalam memperkukuh perlindungan sosial, meningkatkan keselamatan rakyat serta memperkasakan sistem pentadbiran negara yang lebih responsif dan berdaya tahan.


"Apa yang penting kini ialah memastikan pelaksanaan yang berkesan agar manfaatnya dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat.


"Saya menyeru seluruh rakyat untuk mengambil maklum dan memahami perubahan-perubahan yang diperkenalkan supaya setiap peluang serta manfaat yang disediakan dapat dimanfaatkan sebaiknya demi kesejahteraan bersama.


"Kemajuan negara yang sebenar bukan hanya diukur melalui dasar yang diperkenalkan, tetapi melalui manfaat yang dirasai oleh rakyat," katanya yang juga Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Sabah.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page