Kerajaan jaga kebajikan pengamal media, salur pelbagai bantuan - Fahmi
- Suara Keadilan

- Jun 14
- 2 min read

Kerajaan Madani telah meningkatkan keprihatinannya kepada pengamal media dengan mewujudkan pelbagai bentuk bantuan sejak beberapa tahun lalu.
Menurut Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, Kementerian Komunikasi melalui BERNAMA telahpun menyalurkan pelbagai bentuk bantuan menerusi Tabung Kasih@HAWANA yang diwujudkan pada April 2023.
"Sehingga tengah hari ini, seramai 441 pengamal media di seluruh negara telah menerima manfaat, dengan jumlah sumbangan melebihi RM1.2 juta," kata Fahmi dalam ucapan di Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2025 yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, pagi tadi.
Ujarnya, hasil sinergi BERNAMA dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), perlindungan sosial kepada pengamal media sambilan telah diberikan menerusi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) yang memanfaatkan 531 pengamal media sambilan, untuk tempoh satu tahun pada tahun lepas.
"Manfaat perlindungan ini dilanjutkan bagi tempoh satu tahun lagi dengan peruntukan dianggarkan sebanyak RM37,170.00.
"Antara manfaat perlindungan di bawah SKSPS ialah faedah perubatan, faedah hilang upaya sementara, faedah hilang upaya kekal, faedah orang tanggungan, faedah pengurusan mayat dan elaun layanan sentiasa.
"Pada tahun ini, pemberian perlindungan untuk pengamal media sambilan diperluaskan kepada simpanan persaraan di bawah i-Saraan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melibatkan peruntukan sebanyak RM15,930.
"Inisiatif ini memberi manfaat selepas persaraan mereka kelak. Kerajaan memperuntukkan RM53,100 tahun ini bagi kedua-dua inisiatif berkenaan," katanya.
Dalam pada itu, Fahmi juga mengumumkan Lembaga Pengasas (Founding Board) Majlis Media Malaysia yang mula beroperasi pada tahun ini dan bukan sahaja dianggotai pengamal media arus perdana tetapi turut melibatkan pengamal media bebas.
Lembaga tersebut dianggotai 12 orang terdiri daripada empat wakil bagi setiap kategori, iaitu kategori syarikat media, kategori persatuan media, pengamal media dan pengamal media bebas, serta kategori ahli bukan media.
Selain itu, Fahmi juga memaklumkan sehingga 4 Jun lalu, seramai 12,428 pengamal media aktif berdaftar dengan Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) dan memiliki Kad Perakuan Media.
Daripada jumlah tersebut 12,297 merupakan warganegara Malaysia yang berkhidmat dalam pelbagai platform seperti media cetak, penyiaran, digital serta portal berita dalam talian.
Manakala untuk memudahkan liputan media ke atas negara negara ASEAN sempena kepengerusian Malaysia, Fahmi mengumumkan, semua pemegang Kad Perakuan Media warganegara Malaysia layak menikmati diskaun penerbangan sebanyak 50% dari Air Asia.
"Ini merupakan inisiatif hasil kerjasama strategik Kementerian Komunikasi dan AirAsia. Pihak AirAsia yang diketuai Tan Sri Tony Fernandes telah bersetuju untuk menawarkan diskaun 50 peratus (secara one-off) bagi pembelian tiket penerbangan pergi balik ke mana-mana 57 destinasi di negara anggota ASEAN.
"Tempoh tempahan akan dibuka hingga 31 Disember 2025, manakala tempoh penerbangan (travel period) pula mulai April hingga September 2026. Butiran dan mekanisme tempahan tiket akan diumumkan oleh JAPEN dalam masa terdekat," katanya lagi.









Comments