Kerajaan, Grab sedia RM160 juta bela kebajikan 600,000 pekerja gig mulai 2027


Kerajaan MADANI bersama Grab akan membiayai pakej bernilai RM160 juta mulai 2027 bagi meningkatkan pendapatan bersih serta menambah baik kebajikan kira-kira 600,000 pekerja gig, termasuk pemandu e-hailing dan penghantar p-hailing.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pakej itu merangkumi peningkatan kadar pendapatan minimum, bantuan kos penyelenggaraan kenderaan dan insurans serta caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Beliau berkata, inisiatif berkenaan dilaksanakan sementara Majlis Perundingan Gig memuktamadkan rundingan mengenai kadar pendapatan minimum, formula pendapatan dan standard minimum perlindungan sosial bagi pekerja gig.
"Majlis Perundingan Gig sedang dalam peringkat rundingan bagi menetapkan kadar pendapatan minimum, formula pendapatan serta standard minimum perlindungan sosial bagi pekerja gig, yang akan dimuktamadkan pada awal tahun 2027," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027.
Menurut Anwar, pakej RM160 juta itu dijangka meningkatkan pendapatan bersih pemandu e-hailing pada tahap median sehingga RM227 sebulan, manakala pendapatan penghantar p-hailing meningkat sehingga RM100 sebulan.
Dalam usaha memperluas perlindungan sosial, kerajaan turut menawarkan insentif caruman padanan PERKESO sebanyak 35 peratus kepada pekerja e-hailing dan p-hailing.
Kadar insentif itu akan ditingkatkan kepada 50 peratus sekiranya syarikat platform turut menanggung caruman bagi pihak pekerja.
Selain itu, kerajaan menawarkan insentif caruman padanan PERKESO sebanyak 70 peratus kepada lebih 200,000 individu bekerja sendiri dalam 17 sektor yang tidak diwajibkan mencarum.
Anwar berkata, pelepasan cukai PERKESO turut diperluas bagi meliputi caruman wajib Skim Lindung Kendiri, selain pelepasan tambahan sehingga RM150 bagi caruman sukarela Skim Lindung 24 Jam dan Lindung Kendiri.
Bagi membantu pekerja gig membuat persediaan kewangan untuk hari tua, kerajaan turut menawarkan insentif caruman padanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sehingga RM600 setahun atau RM6,000 sepanjang hayat.
"Bagi menggalakkan simpanan persaraan oleh pemandu e-hailing dan p-hailing, Kerajaan menawarkan insentif caruman padanan KWSP kepada sehingga 600 ringgit setahun atau 6,000 ringgit seumur hidup," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Agrobank menyediakan pembiayaan berjumlah RM270 juta bagi membantu pekerja gig yang berhasrat memulakan perniagaan atau membeli rumah pertama.
Kerajaan juga akan mengawal selia sektor p-hailing secara menyeluruh di bawah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP).
Sementara itu, bagi memperkukuh perlindungan sosial dan menggalakkan tabiat menyimpan sejak awal, kerajaan bersetuju mendaftarkan setiap warganegara secara automatik sebagai ahli KWSP apabila mencapai usia 18 tahun.
Langkah itu bertujuan memastikan simpanan persaraan dapat dimulakan lebih awal, sekali gus membantu rakyat membina asas kewangan yang lebih kukuh untuk masa depan.



Comments