top of page

Kerajaan gagal susun semula ekonomi tangani impak Covid 19 - Shamsul



Belanjawan 2021 yang dibentangkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) semalam gagal mengambil peluang impak kejatuhan pasaran kewangan akibat pandemik Covid 19 untuk kerajaan menyusun semula asas ekonomi negara.


Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin mengkritik beberapa sudut belanjawan yang dibentangkan Menteri Kewangan petang semalam kerana gagal menseimbangkan kesenjangan ekonomi antara golongan kaya dan miskin.


"Belanjawan ini bersifat konvensional dan kerajaan masih gagal mengambil peluang daripada impak Covid 19 menyusun semula ekonomi kita.


"Kita berhadapan dengan perkara yang menuntut melakukan pemikiran semula agar boleh mengeluarkan Malaysia dari masalah ekonomi dalam jangka pendek atau panjang


"Kesan buruk Covid sepatutnya membuka ruang untuk kita menilai pendekatan ekonomi. Tetapi ini tidak digunakan sepenuhnya. Ekonomi kita kalau dilihat amat berat kepada golongan kaya (kapitalis) dan tidak memberikan pemberat kepada golongan miskin atau pekerja.


"Sebanyak 65% daripada KDNK memberi keuntungan dari segi korporat dan juga peniaga. Hanya 30% keuntungan itu digunakan sebagai gaji pekerja," katanya dalam forum maya mengupas Belanjawan 2021 anjuran Institut Darul Ehsan malam tadi.


Selain itu, Shamsul juga mengkritik golongan kaya yang masih tidak diberi tanggungjawab lebih meluas oleh kerajaan PN dalam membantu membangunkan semula ekonomi. Sedangkan banyak dalam kalangan golongan itu mendapat kemewahan melimpah ruah di bawah dasar kronisme BN suatu ketika dahulu.


"Sepanjang tempoh Covid kita juga melihat pasaran saham naik mendadak. Soalan yang ditanya siapakah yang mendapat manfaat dari perkara ini. Tentunya bukan golongan miskin. Mereka yang membeli saham tentulah golongan kaya. Bila naik harga saham bertambah keuntungan tetapi rakyat biasa hilang pekerjaan dan bertambah miskin.


"Situasi ini menuntut 'bila mana ada krisis, akan ada peluang untuk membetulkan semula' atau reset semula sistem ekonomi yang herot dan membuat satu dasar yang boleh menyeimbangkan perkongsian antara kelompok kapitalis dan golongan pekerja," katanya lagi.


Beliau juga kurang berpuas hati dengan pengumuman Menteri Kewangan yang tidak menyediakan pelan menghadapi situasi luar biasa. Sebaliknya belanjawan dibentang seolah-olah negara menghadapi krisis kecil yang boleh dirungkai dengan mudah.


"Kalau dilihat pengumuman Menteri Kewangan, hanya hal yang biasa kita dengar. Kalau dulu (bantuan) RM400 mungkin meningkat RM450. Kalau dulu kakitangan kerajaan dapat bonus RM500 kali ini RM600. Itu satu perkara yang tidak memanfaatkan peluang yang ada untuk riset ekonomi.


"Bagaimana kerajaan boleh seimbangkan ekonomi? Ia boleh dilakukan melalui cukai baharu misalnya cukai pewarisan. Ini boleh difikirkan. Kekayaan yang diturunkan tanpa bekerja keras membuatkan kekayaan itu berlegar (tanpa berkurang sedikit pun) dalam kalangan kelompok yang sama. Justeru kalau dikenakan cukai maka boleh mengurangkan jurang dan meningkatkan hasil kerajaan," katanya.


Shamsul juga menyentuh isu gaji minimum yang tidak dibicarakan sepanjang pembentangan belanjawan, sama ada untuk dinilai semula pada masa hadapan bagi meningkatkan motivasi golongan pekerja yang sedang tertekan dengan pemotongan upah hari ini.


0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page