Kerajaan disaran tanggung kos senggaraan jalan balak di pedalaman Sarawak
- Suara Keadilan
- 3 hours ago
- 1 min read

Kerajaan disaran menanggung kos penyelenggaraan jalan balak yang menjadi akses utama ke kawasan pedalaman, khususnya di Baram, Sarawak bagi mengurangkan beban kontraktor dan memastikan kelancaran projek pembangunan.
Naib Presiden KEADILAN, Roland Engan (gambar) berkata, isu kos pengangkutan bahan binaan yang tinggi sering timbul berikutan caj yang dikenakan syarikat balak terhadap lori muatan berat yang melalui jalan terbabit.
"Difahamkan bahawa kos pengangkutan adalah tinggi memandangkan caj yang dikenakan oleh syarikat balak tertentu ke atas lori muatan tinggi yang hendak digunakan oleh kontraktor terbabit.
"Ini adalah kerana jalan balak utama yang dibina dan diselenggara (syarikat pembalak) sebagai jalan akses ke kampung Long San, Baram," katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, keadaan itu sedikit sebanyak melambatkan kerja penghantaran bahan binaan ke tapak projek pembangunan kerajaan dan dihuatiri boleh menjejaskan tempoh penyiapan projek.
"Oleh itu, adalah dicadangkan agar isu kos pengangkutan yang tinggi ini tidak patut ditangani sendiri oleh kontraktor dan syarikat balak berkenaan sahaja melainkan suatu dasar yang lengkap disiapkan dengan segera oleh pihak Kerajaan untuk menangani isu ini. termasuklah penyediaan kos pemyelenggaran jalan balak utama sementara menunggu projek pembangunan jalan raya yang lebih tersusun di kawasan pedalaman," tegasnya.
Roland berkata, bulan kemerdekaan ini seharusnya dijadikan titik tolak untuk menambah baik sistem pelaksanaan projek kemudahan awam di pedalaman agar rakyat luar bandar menikmati pembangunan setara dengan kawasan lain di negara ini.
Comments