top of page

Kerajaan dijangka umum inisiatif tambahan pada sambutan Hari Pekerja

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 4 days ago
  • 1 min read

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan (gambar) menjangkakan Kerajaan akan mengumumkan beberapa inisiatif tambahan sempena sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei ini.


Dipetik laporan media, Ahli Parlimen Sungai Buluh itu berkata, inisiatif tersebut sebagai langkah proaktif menangani ketidaktentuan pasaran buruh susulan tekanan ekonomi global dan krisis geopolitik semasa.


Inisiatif yang bakal diumumkan itu termasuk antaranya penambahbaikan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) bagi memperkukuh perlindungan sosial pekerja, selain memudahkan akses kepada program latihan semula dan peningkatan kemahiran.


"Inisiatif sokongan krisis yang komprehensif akan diumumkan sempena sambutan Hari Pekerja nanti.


"Usaha ini penting untuk mempercepatkan proses penempatan semula pekerja ke sektor pekerjaan yang lebih stabil, sekali gus mengurangkan tekanan terhadap pasaran buruh negara," katanya dalam satu sidang media di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).


Beliau sebelumnya mengadakan lawatan tapak bagi meninjau persiapan Karnival Kerjaya Premium MYFutureJobs 2026.


Sementara itu, sebagai mengulas penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam platform MYFutureJobs, Ramanan berkata hab imersif pertama di Kuala Lumpur yang dilancarkan kementeriannya itu bagi membantu pencari kerja mendapatkan padanan pekerjaan yang lebih tepat dan bersesuaian.


Teknologi AI jelasnya mampu membangunkan portfolio pencari kerja secara automatik selain memadankan mereka dengan pekerjaan yang menawarkan gaji terbaik mengikut kemahiran dan pengalaman dimiliki.


"Dengan menggunakan AI, sistem itu akan membantu membina portfolio pengguna dan memadankan mereka dengan pekerjaan yang sesuai di bawah portal MYFutureJobs," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page