
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) digesa meneliti segera isu dihadapi penduduk Pensiangan, Sabah yang ketika ini sukar mendapatkan perkhidmatan kesihatan berikutan kawasan yang agak terpencil.
Ketua Cabang KEADILAN Pensiangan, Raymond Ahuar dalam satu kenyataan berkata, beliau sendiri telah menyampaikan luahan hati penduduk kepada Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa supaya kemudahan kesihatan di kawasan tersebut diperkasa.
Antara yang dibangkitkannya dalam majlis tertutup anjuran KEADILAN Sabah baru baru ini ialah beberapa isu yang memerlukan perhatian segera.
Terutama, kata Raymond, meminta agar Klinik Kesihatan Daerah Nabawan dinaik taraf ke Hospital Daerah Nabawan.
"Ini adalah bersesuaian dengan status Daerah Penuh Nabawan," katanya
Menurut Raymond lagi, beliau juga membangkitkan isu ketiadaan doktor pakar, pegawai perubatan dan kemudahan asas akibat kemudahan sedia ada hanya berstatus klinik kesihatan.
Kesannya, ujar beliau, pesakit terpaksa dirujuk ke Hospital Daerah Keningau atau Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu yang jaraknya agak jauh untuk menerima rawatan atau rawatan susulan.
"Ini membebankan keluarga pesakit yang tidak berkemampuan," jelasnya.
Sementara itu, Raymond juga menggesa supaya KKM membina semula Klinik Kesihatan Mansiat, Sook yang terbakar pada 14 Jun 2022 lalu dan pembinaan baru Klinik Kesihatan Batu Punggal.
Dengan pembinaan semula kemudahan itu katanya, akan dapat meringankan beban kos perbelanjaan pesakit yang sebelum ini terpaksa mendapatkan rawatan di Hospitak Daerah Keningau yang terletak kira-kira 50 kilometer dari Sook.
"Rakyat Pensiangan mengharapkan Kerajaan Madani di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat mempertimbangkan perkara-perkara berbangkit untuk kemudahan dan keselesaan rakyat di kawasan ini," katanya lagi.