Kerajaan dalam usaha pulih ekonomi, perangi rasuah - PM
- Redzuan Shamsudin
- Oct 23, 2023
- 1 min read

Kerajaan Madani yang memerintah Malaysia selepas Pilihan Raya Umum November 2022 sedang berusaha keras untuk memulihkan ekonomi serta melawan barah rasuah yang mencengkam pentadbiran negara sejak sekian lama.
Para pelajar dan rakyat Malaysia di Mesir diberitahu sedemikian dalam pertemuan bersama PM yang mengadakan lawatan sehari ke negara itu.
"Saya mengambil peluang (menjelaskan) dalam mencerakinkan usaha dan tumpuan kerajaan dalam memulihkan ekonomi Malaysia serta langkah-langkah yang telah diambil.
"Saya tegaskan Malaysia mesti kebah dari penyakit rasuah dan kegagalan menegakkan tatakelola, dan tatanan ini mesti dilonjakkan ke tahap yang lebih baik.
"Saya turut menjawab mengenai kedudukan ringgit yang kini tercabar parah akibat tindakan Federal Reserve Amerika Syarikat yang secara agresif meningkatkan kadar faedah yang turut mengesankan matawang renmimbi China dan yen Jepun," katanya.
Menurut Anwar, pemulihan ekonomi tentunya tidak mudah berlaku tetapi Malaysia telah berada di landasan yang betul sejak 10 bulan lalu dan menyaksikan keyakinan pelabur asing kembali pulih untuk menanam modal.
"Tentunya kesannya (pemulihan) tidak akan segera terjelma.
"Namun, langkah permulaan yang tegas telah diambil yakni Malaysia mesti bergerak ke arah pendolarisasi, dan Malaysia berjaya dalam rundingan bersama China, Indonesia dan Thailand untuk menggunakan matawang tempatan dalam urusan perdagangan agar kedudukan dan kekuatan ringgit dapat kembali kuat dan mengukuh," katanya.
PM tiba di Mesir beberapa jam lalu selepas meninggalkan Istanbul, Tukiye
Lawatan ke Mesir bertemu Presiden Abdel Fattah El-Sisi adalah bagi membincangkan penyelesaian jangka panjang bagi nasib Palestin yang sedang diganasi rejim Israel.
Sekakat ini sebanyak 4,200 rakyat Palestin telah terkorban dalam serangan udara Zionis sementara tentera darat Israel bersiap sedia melakukan serangan darat besar besaran ke Gaza.
Comments