Kerajaan Cemerlang Hadapi Tarif AS, Pembangkang Hanya Tabur Fitnah
- Suara Keadilan
- 4 hours ago
- 2 min read

Oleh: Dr Mohd Fauzi Hj Fadzil
ULASAN: Sekembalinya Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal kembali ke Dewan Rakyat selepas digantung enam bulan bermula Julai lalu tidak mengurangkan kedangkalan beliau dalam berhujah di dewan yang mulia tersebut. Sebelum ini beliau telah digantung dari menghadiri sidang Dewan Rakyat kerana membawa hujah berdasarkan surat layang yang tidak dapat dikenal pasti identiti pengadu dan kesahihan maklumatnya.
Isnin lalu sekali lagi Ahli Parlimen Machang tersebut membawa hujah dangkal tanpa bersandarkan kepada fakta dan realiti semasa. Beberapa tuduhan keras dan melampau dilemparkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX). Antara tuduhan tersebut termasuklah Kerajaan pimpinan PMX hanya menunggu tanpa berbuat apa-apa sepanjang kerajaan Amerika Syarikat (AS) pimpinan Donald Trump melancarkan perang dagang.
Kerajaan buat terbaik hadapi tarif AS
Tindakan PMX pada beliau adalah reaktif dan bukannya proaktif, kelalaian tersebut akhirnya menjerat Malaysia dengan kadar tarif sebanyak 47% (kemudian diberi pengurangan sebanyak 24%). Tambah Ahli Parlimen Machang, PMX hanya sibuk berjalan-jalan mengeliling dunia tanpa cuba merangka pelan strategik bagi menghadapi tekanan dari kerajaan pimpinan Donald Trump.

Kedangkalan tersebut telah dijawab oleh PMX secara terbuka di Dewan Rakyat. Dakwaan bahawa Kerajaan PMX tidak berbuat apa-apa sepanjang menghadapi perang dagang ini adalah bohong semata-mata. Hakikatnya Kerajaan Madani telah menubuhkan Pusat Tindakan Geoekonomi Negara (NGCC) yang melibatkan beberapa kementerian utama bagi merangka pelan strategik bagi berhadapan dengan tekanan kerajaan pimpinan Donald Trump.
Malaysia bersama ASEAN
Kerajaan pimpinan PMX juga telah menganjurkan Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN terkait tarif timbal balas Amerika Syarikat. Mesyuarat berkenaan secara senada dan bersetuju dengan langkah yang lebih berhemah untuk meneruskan rundingan dua hala bagi berrhadapan dengan kerajaan pimpinan Donald Trump. Kerajaan pimpinan PMX seterusnya mengadakan Mesyuarat Menteri-menteri Kewangan dan Gabenor Bank Negara ASEAN terkait isu yang sama.
Seharusnya Ahli Parlimen Machang membuka pintu hati dan bersangka baik terhadap usaha PMX dalam menghadapi perang dagang melibatkan kuasa besar dunia. PMX bukan keluar negara untuk makan angin dan berehat, beliau sedang cuba mengembeling kekuatan ASEAN untuk berhadapan dengan tekanan dari kuasa besar dunia. Mengapa harus dipersoalkan usaha tersebut, malah dibangkitkan fakta tidak benar terkait krisis ekonomi Malaysia pada tahun 1997.
Tindakan Ahli Parlimen Machang ini seperti disengajakan, beliau seperti mahu dirinya digantung sekali lagi dari menghadiri sidang Dewan Rakyat bagi membentuk naratif negatif terhadap kerajaan pimpinan PMX. Adakah matlamat akhir beliau untuk menggambarkan kerajaan pimpinan PMX sebagai zalim dan kejam terhadap dirinya?
Penulis merupakan Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan Selangor