Kerajaan cadang 'wajib label' kandungan AI bagi elak penipuan - Fahmi
- Suara Keadilan

- Jul 14
- 1 min read

Kerajaan sedang meneliti cadangan untuk mewajibkan pelabelan kandungan yang dihasilkan oleh kecerdasan buatan (AI) sebagai “AI generated” di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian yang dijangka dikuatkuasakan hujung tahun ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil (gambar) berkata langkah itu penting bagi menangani penyalahgunaan teknologi AI termasuk penyebaran berita palsu, penyamaran identiti dan penipuan di media sosial.
"Beberapa platform sosial secara sukarela sudah mula melabel kandungan mereka sebagai ‘AI generated’. Maka, kita mungkin pertimbangkan untuk mewajibkannya di bawah akta baharu ini," katanya dipetik.
Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata demikian selepas merasmikan Program Festival AI di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR), Angkasapuri Kota Media, Kuala Lumpur semalam.
Beliau turut menegaskan penggunaan AI perlu dinilai secara menyeluruh oleh setiap organisasi dari segi manfaat, cabaran, keupayaan dan batasan teknologi tersebut.
Menurut Fahmi, ketika ini belum ada garis panduan kawal selia yang jelas di peringkat antarabangsa mengenai kandungan palsu yang terhasil daripada AI serta pihak mana paling sesuai menggubal peraturan berkaitan.
"Persoalannya kini ialah siapa yang patut menggubal kawal selia? Di peringkat negara, sudah pasti Parlimen dan kementerian seperti Kementerian Digital perlu ke hadapan. Namun, setiap kementerian juga perlu menilai penggunaan AI dalam bidang masing-masing," ujarnya.









Comments