Kerajaan buka kuota pekerja asing kepada 3 sektor, 10 subsektor
- Suara Keadilan
- Aug 19
- 2 min read

Kerajaan bersetuju membuka semula kuota pengambilan pekerja asing secara terkawal dengan menumpukan kepada tiga sektor utama merangkumi 10 subsektor, selepas mengambil kira keperluan sebenar tenaga kerja negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (gambar) berkata langkah itu dibuat berdasarkan keputusan Jemaah Menteri sebelum ini yang menetapkan penggantungan kuota pekerja asing mesti diteliti secara suku tahunan.
"Berpandukan kepada keputusan Jemaah Menteri, mesyuarat kami hari ini telah bersetuju, setelah membincangkan kertas pertimbangan, untuk membenarkan pembukaan permohonan kuota penggajian pekerja asing secara kes demi kes - khusus kepada 3 sektor dan 10 subsektor.
"Keputusannya adalah 3 sektor dan 10 subsektor akan dicadangkan oleh agensi kawal selia. Jika sektor perladangan di bawah Kementerian Perdagangan, sektor pertanian di bawah Kementerian Pertanian, sektor restoran di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri," katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia Mengenai Pengurusan Pekerja Asing.
Praktis sebelum ini, kata Saifuddin adalah sesiapa sahaja boleh memohon, sama ada majikan ataupun ejen. Selepas ini, katanya, untuk tiga sektor dan 10 subsektor itu hanya agensi kawal selia berkenaan yang boleh mengangkat permohonan.
Beliau berkata, setiap permohonan akan melalui Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Pekerja Asing yang dianggotai oleh agensi kawal selia peringkat Timbalan Ketua Setiausaha sebelum dimuktamadkan dalam mesyuarat bersama KDN dan Kementerian Ekonomi.
Dalam masa sama pula, katanya, kerajaan turut menetapkan hala tuju baharu untuk mengurangkan kadar kebergantungan kepada pekerja asing.
"Saya juga ingin maklumkan kepada rakan media bahawa dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas yang dibentangkan baru-baru ini, Kementerian Ekonomi telah menetapkan bahawa peratusan keberadaan pekerja asing di negara kita ialah 10%. Sekarang ini 15%. Maka dalam RMK13, syiling baru ditetapkan pada 10%.
"Mesyuarat hari ini bersetuju bahawa kita menuju ke arah syiling 10% pekerja asing mulai tahun depan (2026)," katanya.
Bagi tahun 2025, kerajaan bersetuju menetapkan jumlah maksimum atau syiling sektoral pekerja asing pada 2,467,756 orang, meliputi sektor perkilangan, pembinaan, perkhidmatan, perladangan, pertanian, pembantu rumah asing, perlombongan dan kuari.
"Bermula sekarang hingga 31 Disember (2025) - syiling yang memandu KDN dan Kementerian Sumber Manusia dalam menguruskan kehadiran pekerja asing ini adalah tidak boleh melebihi 2,467,756.
"Selepas itu, jawatankuasa ini akan memuktamadkan syiling sektor pekerja asing yang baru sesuai dengan dasar yang ditetapkan oleh Kementerian Ekonomi iaitu 10%. Kami akan tetapkan syiling itu pada suku pertama atau suku kedua tahun hadapan," tegasnya.
Comments