top of page

Kerajaan buat perubahan budaya, pacu ke arah negara hijau

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
Aug 23, 2023
1 min read


Kerajaan akan melaksana perubahan budaya di premis kerajaan sebagai usaha penjimatan dan mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, kata Nik Nazmi Nik Ahmad.


Beliau yang juga Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim berkata, langkah itu termasuk menyelaras suhu penyaman udara dingin kepada 24 hingga 25 darjah Celsius dan menukar kod pakaian agar sesuai dengan cuaca di Malaysia.


Perkara tersebut jelasnya telah dibangkitkan dalam pembentangan memorandum jemaah menteri Energy Efficient and Conservation Act (EECA) dalam mesyuarat jemaah menteri pada 2 Ogos lalu.


Selain menyelaras suhu penyaman udara, kabinet jelasnya telah bersetuju membenarkan penjawat awam memakai baju batik pada setiap hari bekerja dan bukannya hanya hari Khamis seperti sebelum ini, bersesuaian dengan iklim di Malaysia.


"Hal ini bagi memberi keselesaan kepada penjawat awam untuk menyesuaikan cara pemakaian dengan perubahan suhu premis yang telah ditetapkan dalam usaha kerajaan untuk menjimatkan penggunaan tenaga elektrik, menyokong inisiatif kecekapan tenaga dan sekali gus merangsang pembangunan industri batik Malaysia," katanya sambil memaklumkan etika berpakaian baru itu juga akan diperluas ke Parlimen.

Terdahulu pada Disember, Naib Presiden KEADILAN itu berkata, rakyat Malaysia memerlukan anjakan paradigma dalam soal penggunaan tenaga.


Ia menurutnya boleh diperluaskan dengan menamatkan amalan penggunaan penyaman udara pada suhu begitu rendah di bangunan kerajaan.


Tabiat lama jelasnya perlu diteliti semula agar Malaysia benar-benar menjadi negara yang mesra alam sekitar.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page