Kerajaan BN - PN menunjukkan kegagalan total menangani kos sara hidup apabila mengumumkan penarikan subsidi bagi minyak masak botol dan memansuhkan harga siling telur ayam mulai 1 Julai ini.
Menurut Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH), langkah tersebut pasti akan meningkatkan kos kehidupan apatah lagi subsidi kepada penternak bagi memastikan harga ayam kekal rendah juga akan ditarik balik pada 1 Julai.
"Majlis Presiden PH amat risau dengan perkembangan mutakhir berhubung isu kos sara hidup terutama selepas pengumuman Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna semalam subsidi bagi minyak masak tulen berbotol, serta harga siling bagi telur dan ayam akan dihapuskan mulai 1 Julai.
"Dalam keadaan ekonomi rakyat amat terkesan akibat pandemik Covid-19, kehidupan rakyat akan bertambah parah apabila harga barang keperluan tersebut bakal meningkat," kata mereka dalam kenyataan.
Bagaimanapun, menurut kenyataan itu lagi, kerajaan masih belum mengumumkan mekanisme subsidi bersasar yang dijanjikan kepada rakyat meskipun pengumuman menarik semula subsidi kepada penternak ayam misalnya telah dibuat sejak awal Jun.
Kata Majlis Presiden, tanpa mekanisme yang jelas dikhuatiri rakyat yang layak gagal mendapat bantuan dan harga barang keperluan akan melambung tidak terkendali.
"Kerajaan ketika ini belum mengumumkan sebarang mekanisme, dana serta garis masa pelaksanaan subsidi bersasar walaupun hanya tinggal lebih kurang seminggu sebelum terhapus harga siling ini. Ini tidak memberi banyak masa kepada rakyat untuk bersiap sedia menghadapi peningkatan kos sara hidup yang barangkali meningkat sekali ganda.
"Ini bukanlah langkah yang proaktif mahupun bertanggungjawab. Ketua Pembangkang pernah menegur berkali-kali di Parlimen tentang kelewatan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (NACCOL) bermesyuarat serta mengambil tindakan tahun lalu.
"Malangnya, rakyat terus menyaksikan betapa lembabnya tindakan para Menteri (BN - PN) dalam menangani masalah kos sara hidup," kata mereka lagi.
Justeru Majlis Presiden memberi amaran agar kerajaan BN - PN mengumumkan segera mekanisme subsidi bersasar dalam tempoh 24 jam bagi melegakan rakyat juga mengelakkan spekulasi pasaran yang akan meningkatkan harga di luar kawalan.
Tanpa tindakan itu, PH tidak ada pilihan dan mungkin mengambil pendekatan mobilisasi rakyat bagi menyedarkan Kerajaan akan tanggungjawab mereka.
"Pelan penuh menangani isu subsidi dan kos sara hidup mesti diumumkan dalam masa 24 jam.
"Sekiranya gagal, Menteri-menteri yang bertanggungjawab dalam isu kos sara hidup wajib meletakkan jawatan.
"PH juga akan mengambil beberapa tindakan termasuk mobilisasi massa bersama masyarakat sivil dan mana-mana pihak lain yang ingin bersama bagi menyuarakan kemarahan rakyat berhubung isu ini," kata kenyataan itu lagi.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook daan Presiden UPKO, Datuk Seri Madius Tangau.
"
Commenti