Kerajaan berjaya pendekkan tempoh kelulusan skrip syarikat antarabangsa
- Suara Keadilan
- Jun 26
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Kementerian Komunikasi telah berjaya memendekkan tempoh pemprosesan permohonan, termasuk kelulusan skrip bagi syarikat antarabangsa, daripada 30 hari kepada tujuh hari, sekali gus menunjukkan komitmen kementerian dalam melaksanakan reformasi bagi menangani kerenah birokrasi.
Demikian penjelasan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil kepada pemberita susulan penghargaan yang diterima kementeriannya daripada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berhubung kejayaan menangani isu berkenaan.
''Ini satu pencapaian yang membanggakan bagi pihak FINAS kerana ia memenuhi keperluan penting syarikat-syarikat penggambaran yang ingin menjalankan penggambaran dalam negara, di mana skrip-skrip tersebut perlu diteliti.
''Ada juga beberapa agensi di bawah Kementerian Komunikasi turut menyaksikan isu kerenah birokrasi diteliti dan direformasi.
''Contohnya Agensi Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (PUSPAL) yang sebelum ini mengambil masa lama untuk memproses permohonan.
''Ia telah dipermudahkan selepas pelancaran GPP 6.0 (versi baharu) pada April lalu dan antara kemudahan diperkenalkan adalah bagi penganjuran konsert serta aktiviti penggambaran, melibatkan artis antarabangsa dan syarikat perfileman dari luar negara,'' katanya dalam sidang media mingguan di Putrajaya hari ini.
Menurut Fahmi, yang juga Ketua Penerangan KEADILAN, beliau akan meminta supaya usaha untuk mengatasi kerenah birokrasi diperluas dan diperhebat di peringkat agensi serta badan berkanun lain di bawah kementeriannya.
Katanya, antara perkara yang mungkin perlu diberi perhatian ialah proses permohonan lesen di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), yang kini sedang dikaji sebagai sebahagian daripada usaha penambahbaikan di peringkat kementerian.
Comments